25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024
Home Blog Page 272

Polis berkas banduan lari diri daripada Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin

SEORANG banduan warga asing yang dipercayai melarikan diri daripada Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin, Nilai berjaya diberkas polis di Kilometer 29 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, banduan lelaki berumur 39 tahun itu ditahan pada jam 10 malam sekitar 2 kilometer dari pusat berkenaan.

“Sebelum itu, pihak polis menerima laporan daripada pegawai Jabatan Penjara mengenai kejadian tersebut kira-kira tiga jam.

“Selepas menerima laporan pada jam 6.55 petang, anggota dari ibu pejabat polis daerah Nilai melancarkan Ops Tutup dengan membuat rondaan bermotosikal bagi mengesan banduan itu,”katanya menerusi kenyataan di sini

Katanya, daripada siasatan mendapati banduan itu ditempatkan di pusat berkenaan sejak 19 Jun lepas bagi proses pengusiran pada 9 Sept ini.

“Banduan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan pada 2017 atas kesalahan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh,” katanya.

Abdul Malik berkata, suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.- Edisi 9

PEKEMA, Funding Societies jalin kerjasama kukuh industri automotif tempatan

0

PERSATUAN Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) bersama Funding Societies, platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersepadu terbesar di Asia Tenggara, menjalin kerjasama bagi memberi akses mudah kepada pembiayaan melalui platform kewangan digital.

Perjanjian dimeterai melalui jalinan kerjasama itu, memberi tumpuan kepada sokongan kewangan yang diperlukan oleh ahli PEKEMA yang terdiri daripada pengimport dan peniaga kenderaan dari seluruh pelosok Malaysia.

Ia sekali gus, menunjukkan semangat dan dedikasi PEKEMA untuk memperkasakan ahli-ahlinya serta mengangkat martabat industri automotif Malaysia.

Pemangku Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, bahawa kerjasama itu mempunyai potensi besar untuk memberikan impak positif kepada industri automotif negara.

“Satu daripada aspek utama perjanjian ini adalah memberikan sokongan kewangan yang lebih kukuh kepada ahli PEKEMA untuk memudahkan pembelian stok kenderaan bagi tujuan “floor stocking”.

“Langkah ini penting dalam memastikan kelancaran perniagaan mereka serta untuk memenuhi permintaan pelanggan dengan efisien,” katanya.

Mohamed Nazari berkata, PEKEMA menjalin kerjasama dengan kedua-dua institusi kewangan dan bukan kewangan dalam usaha untuk memaksimumkan ekosistem pembiayaan yang lebih meluas.

“Pendekatan inovatif ini dijangka akan mendorong peningkatan jualan dalam industri automotif dan memberi ruang kepada ahli untuk meneroka model pembiayaan yang berbeza sejajar dengan trend dan keperluan pasaran semasa.

“Kerjasama dengan Funding Societies ini selaras dengan misi PEKEMA untuk memperkukuhkan kedudukan industri automotif Malaysia dalam menghadapi transformasi global dengan menggunakan teknologi dan kerjasama yang dinamik,” katanya.

Tahun lalu, PEKEMA memainkan peranan penting dengan mengimport lebih daripada 46,000 kenderaan dan menjual kira-kira 37,000 unit daripadanya, memberikan sumbangan sebanyak 5.2 peratus kepada jumlah penjualan industri kenderaan (Total Industry Volume, TIV).

Dalam suasana pertumbuhan ekonomi Malaysia yang stabil serta pelancaran model-model baharu, TIV bagi tahun ini dijangka akan mencapai 725,000 unit, mengikut unjuran pasaran.

Dengan lebih daripada 340 pengedar, 400 gudang berlesen dan bilik pameran di seluruh negara, PEKEMA berada dalam kedudukan kukuh untuk terus memainkan peranan utama dalam pasaran automotif.

Sementara itu, Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, perjanjian kerjasama ini melahirkan konsep pembiayaan stok kenderaan yang berevolusi oleh Funding Societies dan diintegrasikan ke dalam rangkaian luas PEKEMA.

“Sebanyak hampir 300 Pemegang Permit (AP) yang diluluskan. Mekanisme pembiayaan ini membolehkan pemegang AP untuk memperluaskan stok kenderaan mereka, meredakan tekanan aliran tunai dan memudahkan pengembangan perniagaan.

“Dengan menggabungkan kepakaran Funding Societies dalam pinjaman digital untuk PKS dengan rangkaian luas PEKEMA, kami yakin dapat memberikan kesan positif kepada pengedar kenderaan yang ingin berkembang di seluruh Malaysia.

“Inisiatif ini sejajar dengan misi kami untuk mengurangkan jurang pembiayaan PKS dan memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Pada tahun 2022, sektor automotif Malaysia menyumbang sebanyak RM64.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), terutamanya didorong oleh pemulihan permintaan pasca pandemik.

Anggaran menunjukkan bahawa angka ini dijangka meningkat kepada RM104.2 bilion menjelang tahun 2030.

Walau bagaimanapun, segmen tertentu dalam industri ini menghadapi pelbagai cabaran, termasuk akses terhadap pembiayaan. Dalam konteks ini, kerjasama antara PEKEMA dan Funding Societies bertujuan untuk menangani isu-isu ini dengan menawarkan penyelesaian pembiayaan khusus yang bersesuaian dengan keperluan pelbagai pengedar kenderaan yang sedang berkembang.

Chai berkata, program pembiayaan disesuaikan dengan kerjasama dengan PEKEMA ini menawarkan pelbagai faedah kepada pemegang permit AP, termasuk kos pembiayaan yang lebih rendah, had pembiayaan yang lebih tinggi, tempoh kredit sehingga 120 hari dan proses permohonan yang dipermudahkan.

“Pemegang permit yang menepati kriteria diperlukan – pemilik syarikat sendirian berhad dan syarikat awam berhad, sekurang-kurangnya 30 peratus pegangan saham oleh rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya satu tahun operasi perniagaan yang aktif dan tiada tindakan undang-undang atau litigasi yang belum selesai – boleh memohon pembiayaan,” katanya lagi. -Edisi 9

PRK: SPR keluarkan 304 kertas undi pos

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 304 kertas undi pos kepada pengundi yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos itu dilaksanakan semalam oleh petugas pilihan raya.

“Bagi PRK Parlimen Pulai, sebanyak 226 kertas undi pos telah dikeluarkan yang terdiri daripada 172 kategori 1A melibatkan petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media.

“Sementara itu, 22 undi pos pula bagi kategori 1B iaitu warganegara yang berada di luar negara, enam untuk Kategori 1C (agensi dan organisasi) serta 26 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, bagi DUN Simpang Jeram, sebanyak 78 kertas undi pos dikeluarkan yang terdiri daripada 62 Kategori 1A, 10 undi pos bagi Kategori 1B dan enam PTH Luar Negara.

Menurut beliau, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding.

“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada pegawai pengurus sebelum pukul 5 petang pada Hari Mengundi 9 September ini.

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya. – Edisi 9

Kementerian Ekonomi terima 3,398 permohonan IKR

KEMENTERIAN Ekonomi telah menerima sebanyak 3,398 permohonan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) sejak ia dilancarkan pada 20 Jun lalu.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,491 permohononan diterima daripada individu, 989 permohonan daripada badan bukan kerajaan NGO dan 918 permohonan diterima daripada organisasi kerajaan.

Katanya, Sabah mendahului senarai dengan 909 permohonan yang bernilai RM150.9 juta, diikuti Negeri Sembilan dengan 559 projek (RM80.59 juta) dan disusuli Sarawak dengan 268 permohonan (RM37.53 juta).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,385 projek telah pun diluluskan dengan 366 projek baik pulih jalan merupakan kelulusan tertinggi bagi IPR.

“Senarai 1,385 permohonan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempat (PBT) atau agensi pelaksana yang berkenaan untuk semakan sebelum penyaluran dana dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Indeks Harga Pengguna (IHP) Julai 2023 di Putrajaya, hari ini.

IKR membolehkan rakyat sama ada individu atau organisasi memohon secara terus kepada Kementerian Ekonomi bagi pelaksanaan projek infrastruktur kecil awam di kawasan masing-masing.

Peruntukan yang disediakan adalah terhad dan perlu dibelanjakan bagi melaksanakan projek-projek yang diluluskan pada 2023 dan kos bagi setiap projek IKR tidak melebihi RM200,000.

Mengulas lanjut Rafizi berkata, permohonan projek yang masih dalam proses semakan akan dikemukakan dalam masa terdekat sebelum dipanjangkan kepada PBT untuk pengesahan.

“Sebanyak 245 permohonan telah ditolak kerana tidak memenuhi justifikasi dan syarat permohonan di bawah IKR,” katanya.

Orang ramai masih boleh memohon bantuan projek-projek infrastruktur awam kecil melalui laman web IKR di pautan ikr.ekonomi.gov.my – Edisi 9

Pengamal media terima rebat sebulan bil telefon September

PENGAMAL media di negara ini bakal menikmati rebat telefon bimbit selama sebulan yangn akan dilaksanakan pada September ini.

Menteri Komunikasi dan Digital,Fahmi Fadzil berkata, dianggar sebanyak 10,000 pengamal media berdaftar dengan Jabatan Penerangan bakal menikmati Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media tersebut.

Fahmi berkata, insentif itu bertujuan menghargai pengamal media selaku ‘wira-wira tidak didendang’ yang turut membantu memperjelaskan inisiatif Rahmah di bawah konsep Malaysia Madani.

“Insya-Allah satu Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media akan dilaksanakan pada September ini.

“Semua pengamal media yang memiliki kad perakuan media Jabatan Penerangan layak mendapat rebat satu bulan bil telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Pakej 5G Rahmah dan insentif pasca bayar Rahmah Penjawat Awam di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Fahmi berkata, tawaran tersebut merupakan hasil usaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi.

Katanya, perincian lanjut berhubung insentif itu akan diumumkan selepas penyelarasan dibuat dengan syarikat telekomunikasi yang terlibat.

“Kita sedang adakan sedikit perbincangan tambahan,” katanya. – Edisi 9

Bayi lelaki cukup sifat ditemui di pusat tahfiz

SEORANG bayi lelaki yang cukup sifat ditemui seorang lelaki di atas wakaf luar pagar sebuah pusat tahfiz dekat Kampung Batu Tumbuh, di Jertih pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki itu sedang mengecat pusat tahfiz berkenaan pada pukul 8 pagi tadi.

“Semasa melakukan kerja-kerja mengecat di dalam pusat tahfiz berkenaan, dia terdengar jeritan suara bayi.

“Pengadu kemudiannya mengikuti suara dan terjumpa bayi lelaki yang berbungkus dengan kain merah diletakkan di dalam bekas plastik juga berwarna merah di wakaf luar pagar pusat tahfiz.

“Pengadu terus menghubungi balai polis. Pengadu juga mengatakan tidak nampak sesiapa yang meletakkan bayi itu,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bayi seberat 2.6 kilogram yang dalam keadaan cukup sifat itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh sekitar 48 jam.

“Bangsa tidak dapat dipastikan, dan semasa diterima tali pusat bayi masih belum di potong. Ia hanya disimpulkan serta terdapat jangkitan kuman pada tali pusat bayi itu,”katanya.

Katanya, bayi itu telah dibawa ke Hospital Besut dam kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Oang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Nur Izzati Arina Zahari dengan menelefon 09-695 9999. – Edisi 9

Nombor plat khas M_M boleh dibida mulai Khamis ini

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) yang mempunyai prefiks M (hadapan) dan sufiks M (belakang) iaitu siri M_M bermula Khamis ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, NPI itu ditawarkan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 pada 31 Ogos ini dan boleh dibida menerusi Sistem JPJeBid oleh orang awam.

Katanya, tempoh bidaan ditetapkan selama lima hari sahaja dan keputusan bidaan akan diperoleh pada 5 September, sehari selepas tarikh bidaan ditutup.

“Tanda Indeks Nombor Pendaftaran Istimewa siri M_M ini dipilih adalah membawa maksud dan lambang Malaysia Merdeka bersempena dengan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

“Selain itu, ia akan menjadi kenangan dan menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan 2023. Kaedah penawaran secara bidaan in adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui Sistem JPJeBid,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.

Anthony Loke berkata, tawaran minima bagi nombor bernilai utama (golden) adalah sebanyak RM20,000, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300).

“Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

“Orang awam dialu-alukan untuk menyertai bidaan NPI sempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 yang Ke-66 melalui Sistem JPJeBid sebagai medium dan saluran untuk mendapatkan pilihan nombor pendaftaran kenderaan siri M_M,” katanya. – Edisi 9

Kerajaan kaji kurangkan AP, IP bantu turun harga barang – Rafizi

KERAJAAN sedang membangunkan satu kertas dasar untuk mengkaji dan bertujuan untuk mengurangkan Approved Permit (AP) dan Import Permit (IP). 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kertas dasar itu dijangka akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) tidak lama lagi.

Jelas Rafizi, dengan mengurangkan atau mengehadkan AP dan IP, kerajaan berharap akan dapat menurunkan harga barang, khususnya barang import. 

“Ini akan secara langsung membantu meningkatkan kuasa beli rakyat dan meringankan kesan inflasi.

“Terdapat juga ruang untuk memperbaiki peraturan anti-monopoli dan persaingan untuk memastikan pasaran lebih kompetitif. Dengan meningkatkan persaingan, harga barang dan perkhidmatan akan menjadi lebih berpatutan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, kadar inflasi negara pada Julai terus mereda kepada 2 peratus berbanding 2.4 peratus pada bulan sebelumnya, sekali gus mencatatkan penurunan selama 11 bulan berturut-turut.

Beliau berkata, pengawalan kadar inflasi adalah salah satu keutamaan kerajaan dalam memastikan runaway inflation atau inflasi yang meningkat secara drastik dan tidak terkawal tidak berlaku.

“Kadar inflasi yang tinggi secara berterusan akan mengikis kuasa beli rakyat, kerana harga barangan dan perkhidmatan akan naik tetapi pendapatan tidak semestinya naik pada kadar yang sama.

“Ini bermakna rakyat akan berhadapan dengan kesukaran memenuhi keperluan asas mereka, apatah lagi untuk menabung atau membuat pelaburan.

“Pengawalan inflasi dan peningkatan kuasa beli rakyat adalah komponen kritikal Ekonomi Madani. Pendekatan ini akan dilaksanakan dalam cara yang inklusif, berkesan, dan berkekalan untuk memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Edisi 9

Sanusi ambil semangat ‘Optimus Prime’ dalam berjuang

0

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengambil semangat ‘Optimus Prime’ daripada filem Transformers dalam berjuang.

Sanusi berkata, dalam berjuang, ia tidak boleh dilakukan berseorangan sebaliknya secara berkumpulan.

“Kita tak berjuang sorang-sorang. Kena pakat-pakat buat. Sebagai ketua, kena percaya pada kumpulan. Masing-masing ada kelebihan tersendiri.

“Kedua, sebagai leader, Optimus Prime bukan hanya suruh, kemudian biaq anak buah dia dok berlawan, dia dok bersila panggung tengok. Sebaliknya sama-sama berlawan,”katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Dalam hantaran tersebut, beliau turut berkongsi sekeping gambar dengan karakter kesukaan ramai itu.

Katanya, ramai juga yang membesar dengan filem ‘Transformers’ ini rasanya.

“Saya ada la tengok sikit-sikit. Optimus Prime, Bumblebee tu kenai la.

“Optimus Prime ni lori trelar. Yang dulu tu lawa. Jenih Peterbilt kot. Nampak garang. Tapi kreta bumblebee tu pun smart jugak. Tak tau la naik sedap ka dak.

“Optimus Prime ni, dia ketua. Bila dia keloi autobot lain, pakat meneru la mai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sanusi membayangkan Megatron adalah pemimpin kerajaan pusat yang sebelum ini banyak “menyerangnya”.

“Memang la Megatron tu tak berhenti nak conquer Kedah ni (aik…), tapi takkan la Optimus Prime nak biaq saja. Bukan kaa? haha..,”selorohnya. – Edisi 9

Rakaman CVR pesawat telah diperolehi – Anthony Loke

RAKAMAN suara dari perakam suara kokpit (CVR) pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Persiaran Elmina pada 17 Ogos lalu berjaya diperolehi dari makmal pengilang peralatan asal (OEM) di Florida, Amerikat Syarikat (AS).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, data tersebut diperoleh semalam oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dengan bantuan jurutera di sana.

Jelas beliau, rakaman itu telah dihantar ke makmal di negara ini menerusi e-mel kerana pasukan BSKU tidak dapat pulang segera ke tanah air kerana taufan Hurricane yang melanda Florida.

“Rakaman kokpit itu berjaya dimuat turun, semua rakaman suara daripada dua juruterbang akan dianalisa sebaik mungkin dan apa yang berlaku di kokpit akan dijadikan bahan siasatan untuk mengenal pasti punca nahas.

“Laporan awal akan dikeluarkan dalam tempoh 30 hari selepas insiden, kira-kira dua minggu lagi kita akan menyiarkannya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.

Kotak CVR tersebut terpaksa dihantar ke Florida susulan makmal di negara ini dan Singapura gagal mengeluarkan rakaman suara 30 minit terakhir penerbangan daripada memory puck tersebut.

Ditanya mengenai data yang diperoleh, Anthony Loke berkata beliau enggan membuat sebarang spekulasi daripada rakaman tersebut.

“Saya tidak mahu membuat apa-apa rumusan ketika ini. Biar pakar-pakar kita buat analisa secara terperinci dan itu akan dapat kita berikan dalam laporan awal.

“Kita akan dipaparkan laporan awal siasatan di dalam laman web kementerian. Ini merupakan asas untuk membuat laporan terperinci,” katanya. – Edisi 9

Warga emas hidup keseorangan dalam rumah usang dibantu Sultan Johor

0

SEORANG warga emas yang hidup keseorangan diri dalam sebuah rumah usang bersyukur apabila nasibnya mendapat perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Menurut satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Him Heng Foong, 67, yang menetap di Kampung Baru Kelapa Sawit, Kulai tidak lagi bekerja dan hidup serba kekurangan.

“Kehidupan beliau mendapat perhatian Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, apabila Baginda berangkat ke Mukim Bukit Batu, semalam.

“Bersempena lawatan Baginda bertemu rakyat di Kulai, semalam Permaisuri Johor turut berkenan meluangkan masa meninjau keadaan rumah yang didiami Heng Foong.

Datuk David Wong melihat keadaan rumah yang didiami oleh Him Heng Foong.

“Baginda Tuanku Permaisuri Johor, bertitah agar kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) demi kesejahteraan serta keselesaan penghuni,”menurut hantaran tersebut.

Susulan lawatan Permaisuri Johor, Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah (YSF) YB Mejar Cina Datuk David Wong telah melawat rumah berkenaan serta menyampaikan sumbangan kepada warga emas berkenaan.

“Keadaan rumah ini amat bahaya dan berisiko runtuh pada bila-bila masa sehingga boleh mengancam keselamatan Heng Foong yang hidup keseorangan diri.

“Selain rumah ini, dua lagi rumah juga dalam proses pembinaan semula di Kulai oleh YSIJ selepas mendapat perkenan Sultan Johor,”menurut hantaran tersebut.

Sementara itu, Heng Foong, berkata beliau hanya mampu bersyukur dan amat menghargai bantuan daripada Baginda berdua.- Edisi 9

PRK: Polis Johor lulus 38 permit kempen, ceramah

SEBANYAK 38 permit kempen serta ceramah telah diluluskan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Jurucakap Media PRK Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintenden Ibrahim Mat Som berkata, 19 permit itu bagi kawasan Parlimen Pulai yang meliputi satu permit ceramah dan 18 permit kempen.

“Manakala 19 lagi untuk DUN Simpang Jeram meliputi empat permit ceramah dan 15 permit kempen,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, setakat ini tiada sebarang kertas siasatan yang dibuka.

“Polis Johor menasihatkan semua parti serta kumpulan penyokong menghormati antara satu sama lain serta tidak melakukan kerosakan terhadap poster, kain tentang dan bendera dengan mencabut atau membakar.

“Tindakan tersebut merupakan perbuatan khianat dan menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,”katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, Polis Johor meminta semua calon yang ingin mengadakan kempen pilihan raya agar mengikuti undang-undang mengikut Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – Edisi 9