RAKAMAN suara dari perakam suara kokpit (CVR) pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Persiaran Elmina pada 17 Ogos lalu berjaya diperolehi dari makmal pengilang peralatan asal (OEM) di Florida, Amerikat Syarikat (AS).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, data tersebut diperoleh semalam oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dengan bantuan jurutera di sana.
Jelas beliau, rakaman itu telah dihantar ke makmal di negara ini menerusi e-mel kerana pasukan BSKU tidak dapat pulang segera ke tanah air kerana taufan Hurricane yang melanda Florida.
“Rakaman kokpit itu berjaya dimuat turun, semua rakaman suara daripada dua juruterbang akan dianalisa sebaik mungkin dan apa yang berlaku di kokpit akan dijadikan bahan siasatan untuk mengenal pasti punca nahas.
“Laporan awal akan dikeluarkan dalam tempoh 30 hari selepas insiden, kira-kira dua minggu lagi kita akan menyiarkannya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.
Kotak CVR tersebut terpaksa dihantar ke Florida susulan makmal di negara ini dan Singapura gagal mengeluarkan rakaman suara 30 minit terakhir penerbangan daripada memory puck tersebut.
Ditanya mengenai data yang diperoleh, Anthony Loke berkata beliau enggan membuat sebarang spekulasi daripada rakaman tersebut.
“Saya tidak mahu membuat apa-apa rumusan ketika ini. Biar pakar-pakar kita buat analisa secara terperinci dan itu akan dapat kita berikan dalam laporan awal.
“Kita akan dipaparkan laporan awal siasatan di dalam laman web kementerian. Ini merupakan asas untuk membuat laporan terperinci,” katanya. – Edisi 9