SEORANG warga emas yang hidup keseorangan diri dalam sebuah rumah usang bersyukur apabila nasibnya mendapat perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.
Menurut satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Him Heng Foong, 67, yang menetap di Kampung Baru Kelapa Sawit, Kulai tidak lagi bekerja dan hidup serba kekurangan.
“Kehidupan beliau mendapat perhatian Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, apabila Baginda berangkat ke Mukim Bukit Batu, semalam.
“Bersempena lawatan Baginda bertemu rakyat di Kulai, semalam Permaisuri Johor turut berkenan meluangkan masa meninjau keadaan rumah yang didiami Heng Foong.
“Baginda Tuanku Permaisuri Johor, bertitah agar kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) demi kesejahteraan serta keselesaan penghuni,”menurut hantaran tersebut.
Susulan lawatan Permaisuri Johor, Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah (YSF) YB Mejar Cina Datuk David Wong telah melawat rumah berkenaan serta menyampaikan sumbangan kepada warga emas berkenaan.
“Keadaan rumah ini amat bahaya dan berisiko runtuh pada bila-bila masa sehingga boleh mengancam keselamatan Heng Foong yang hidup keseorangan diri.
“Selain rumah ini, dua lagi rumah juga dalam proses pembinaan semula di Kulai oleh YSIJ selepas mendapat perkenan Sultan Johor,”menurut hantaran tersebut.
Sementara itu, Heng Foong, berkata beliau hanya mampu bersyukur dan amat menghargai bantuan daripada Baginda berdua.- Edisi 9