28.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024
Home Blog Page 273

Lelaki miliki 12 rekod jenayah mati ditembak

SEROANG lelaki mati ditembak ketika berada di kawasan Jalan Hamzah Alang, Persiaran Hamzah Alang, di Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, terdahulu polis menerima aduan berkaitan satu kejadian tembakan yang berlaku di kawasan Kapar, di Klang.

“Bertindak atas maklumat itu, pada 10.35 malam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara ke lokasi kejadian, berhadapan dengan rumah kedai dua tingkat.

“Siasatan awal mendapati, saksi awam terdengar bunyi beberapa das tembakan dan ada kemalangan kecil di sekitar lokasi tempat kejadian.

“Mangsa yang maut berusia 36 tahun itu mempunyai 12 rekod jenayah lampau jenayah berkaitan dadah dan jenayah kekerasan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Vijaya Rao berkata, polis sedang mengesan beberapa saksi bebas di tempat kejadian.

“Usaha mengesan bukti dan kamera litar tertutup sedang dijalankan bagi mengesan suspek terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Edisi 9

Menara Merdeka 118 cerminan kemajuan pesat negara

0

PEMULIHAN Stadium Merdeka, lokasi keramat pengisytiharan kemerdekaan negara pada 1957 dan pembangunan Menara Merdeka 118 yang berdiri gah bersebelahannya benar-benar mencerminkan sejauh mana negara sudah berkembang maju.

Bangunan ikonik itu bakal dibuka secara rasmi pada akhir tahun ini dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB), pemilik Merdeka 118, akan berpindah ke tingkat 17 menara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud berkata, PNB memiliki Merdeka 118 melalui anak syarikat milik penuhnya, PNB Merdeka Ventures.

Kerja asas bagi pemulihan Stadium Merdeka dan juga pembangunan bangunan ikonik terbaharu negara itu bermula pada 2016, tetapi pandemik Covid-19 menyebabkan usaha penyiapannya tertangguh selama setahun.

“Kami kini berada di fasa akhir untuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Selepas PNB berpindah dari lokasinya ketika ini di Menara PNB, Jalan Tun Razak, penyewa utama kami, Maybank, dijangka berpindah tahun depan, menjadikan menara itu 70 peratus diduduki,” katanya.

Tengku Ab Aziz berkata, Stadium Merdeka dijangka dibuka semula kepada orang ramai menjelang suku pertama tahun depan selepas ditutup sejak 2016, manakala Stadium Negara tertutup dijadualkan untuk pengubahsuaian.

Bercakap kepada pemberita semasa sesi lawatan media ke bangunan pencakar langit itu baru-baru ini, beliau berkata penyewa utama lain ialah hotel Park Hyatt bertaraf lima bintang, yang menduduki 17 tingkat (dari aras 100 hingga 117) dengan 252 bilik manakala gedung membeli belah 118 Mall setinggi tujuh tingkat dijangka siap pada 2024.

Apabila siap sepenuhnya kelak pada 2027, Merdeka 118 yang menampilkan menara canggih setinggi 678.9 meter itu akan mengubah kawasan persekitarannya yang sebelum ini terkenal dengan aktiviti sukannya, menjadi mercu tanda baharu baharu ibu kota dengan bangunan pejabat premiumnya, hotel mewah, pusat membeli-belah moden, kediaman, tapak warisan, muzium dan masjid.

Bangunan pencakar langit terbaharu di bandar raya itu adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa Dubai pada ketinggian 828 meter.

Direka bentuk oleh Fender Katsalidis dari Melbourne, struktur itu termasuk puncak menara 40 tingkat (160.4 meter).

Pembangunan menara kediaman

Tengku Ab Aziz berkata, pembangunan utama lain di kawasan itu termasuk Menara Timur Merdeka Residences setinggi 65 tingkat dan Menara Barat Merdeka Residences setinggi 63 tingkat, serta kediaman berperkhidmatan Oakwood Premier Kuala Lumpur.

Pembangunan Merdeka 118 yang menelan kos RM5 bilion itu mempunyai 3.1 juta kaki persegi ruang lantai dan dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, setinggi 500 meter.

Katanya, pembangunan itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM7 bilion.

Merdeka 118 terdiri daripada kira-kira 18,000 panel kaca yang membentuk penampilan luar kristal menara itu dan pemasangan panel akhir menandakan menara itu 95 peratus siap.

Mengenai kebimbangan pembangunan itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit, yang berhampiran dengan Petaling Street, Tengku Ab Aziz memberi jaminan menara itu akan mudah untuk diakses menerusi pengangkutan awam berhampiran seperti stesen MRT Merdekanya sendiri, dan akses ke stesen LRT Hang Tuah dan Plaza Rakyat, serta hentian monorel Maharajalela dan Hang Tuah.

“Aliran trafik juga akan dibuka sehala untuk mengurangkan kesesakan apabila bangunan pencakar langit itu beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Selain pengangkutan awam, menara itu juga mempunyai sambungan terus melalui Terowong Belfield, akses dari Lebuhraya Persekutuan, serta Jalan Damansara atau Jalan Istana.

97.8 peratus siap, tumpuan kepada kelestarian

Sehingga Ogos 2023, Merdeka 118 adalah menara pertama di Malaysia yang berusaha untuk mencapai penilaian platinum hijau tiga kali ganda dengan pensijilan kelestarian antarabangsa dan kerja-kerja telah 97.8 peratus siap.

Tengku Ab Aziz berkata, syarikat antarabangsa turut menunjukkan minat untuk beroperasi di Merdeka 118 dan ramai yang mencari bangunan yang bercirikan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kerana tidak banyak bangunan yang diperakui ESG di bandar raya ini.

“Ruang pejabat dibuka untuk disewa pada harga RM20 sekaki persegi,” katanya.

Walaupun ramai orang yang mungkin agak keliru mengenai fungsi antara Tun Razak Exchange (TRX) dan Merdeka 118, Tengku Ab Aziz menjelaskan bahawa bangunan kedua tertinggi di dunia akan dikategorikan sepenuhnya sebagai bangunan warisan, budaya dan lestari Malaysia untuk menjadi penanda aras industri bagi ciri-ciri kelestarian dan bukannya sebagai hab kewangan.

Katanya, reka bentuk Merdeka 118 adalah berdasarkan siluet (bayang) Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman yang mengangkat tangan sambil melaungkan laungan “Merdeka!”pada 31 Ogos 1957, manakala puncak menara di atas bangunan itu mencerminkan imej bapa kemerdekaan mengangkat tangan beliau semasa pengisytiharan kemerdekaan.

Pemandangan menakjubkan Merdeka 118 dari Stadium Merdeka memberikan pengalaman dan gambaran suasana perjalanan masa dari tahun 1957 hingga ke hari ini, manakala pembangunan dan seni bina moden, adalah manifestasi kemajuan pesat negara sejak enam dekad yang lalu. -Bernama

Ketua Parti Pheu Thai letak jawatan

0

KETUA Parti Pheu Thai, Cholnan Srikaew semalam mengumumkan peletakan jawatannya bagi mengotakan janji beliau untuk berbuat demikian jika parti itu membentuk gabungan dengan parti protentera.

Parti Pheu Thai yang menduduki tempat kedua pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dengan memenangi 141 kerusi, mengetuai kerajaan gabungan 11 parti yang merangkumi dua pesaing mempunyai kaitan dengan tentera, iaitu Parti Palang Pracharath (PPRP) dan United Thai Nation (UTN).

“Saya telah menyelesaikan tugas membentuk kerajaan pimpinan Parti Pheu Thai.

“Seperti yang saya janjikan bahawa jika Parti Pheu Thai dan kepimpinannya membentuk kerajaan dengan PPRP, saya akan meletak jawatan sebagai ketua parti,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau merujuk kepada janji yang dibuatnya pada 28 April lalu ketika kempen pilihan raya.

Parti Pheu Thai terpaksa bergabung dengan kedua-dua parti terbabit yang disokong tentera, untuk membentuk kerajaan dan menamatkan kemelut politik selepas PRU pada 14 Mei lalu.

Cholnan, 62, yang juga pakar perubatan dan bekas pengarah hospital di wilayah Nan, bagaimanapun berkata peletakan jawatannya itu tidak akan memberi kesan terhadap status beliau sebagai Ahli Parlimen.

Sebelum ini, beliau disebut-sebut menjadi pilihan untuk menyandang jawatan sebagai Menteri Kesihatan.

Timbalan Ketua Pheu Thai, Chusak Sirinil, akan mengetuai parti itu, manakala pemilihan pemimpin baharu dan lembaga eksekutif akan diadakan dalam tempoh 60 hari. –Agensi

Hari Kebangsaan : PM zahir penghargaan buat semua

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan buat semua yang terlibat dalam Sambutan Hari Kebangsaan 2023 termasuk mereka yang membanjiri Dataran Putrajaya hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berharap semangat merdeka rakyat itu akan terus diperkukuh dan tersemat jitu di setiap sanubari segenap lapisan masyarakat.

“Penghargaan saya buat semua yang membanjiri Dataran Putrajaya untuk sama-sama meraikan hari besar buat Malaysia dan kesatupaduan yang dipaculkan hari ini ternyata nilai Malaysia yang sebenar,”menurut hantaran itu.

Lebih 100,000 orang membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Ia melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan.

Sambutan mengingati Hari Kemerdekaan ini kembali diraikan di Dataran Putrajaya berikutan sebelum ini acaranya disambut di Dataran Merdeka.

Sambutan di Putrajaya kali ini adalah yang kelima selepas kali pertama pada 2003, disusuli 2005, 2018 dan 2019.

Sambutan itu turut disiarkan dan diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung melalui kaca televisyen dan laman media sosial serta diraikan secara serentak di seluruh negara bermula jam 7 pagi. – Edisi 9

Rakyat Malaysia boleh langgan pakej 5G RAHMAH hari ini

0

BERSEMPENA sambutan Hari Kebangsaan, rakyat Malaysia layak untuk melanggan Pakej 5G RAHMAH dengan spesifikasi asas pelan data melibatkan telefon pintar berharga tidak melebihi RM240 hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, dalam kemeriahan sambutan kemerdekaan negara, rakyat boleh menggunakan peluang untuk melanggan pakej tersebut yang juga menawarkan pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60GB sehingga Disember tahun ini.

“Penjawat awam juga akan mendapat rebat RM10 sebulan untuk tempoh 12 bulan bagi pakej pascabayar bernilai RM60 dan ke atas, mulai 16 Sep ini,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, bagi menghargai pengamal media di negara ini, Fahmi berkata golongan itu juga boleh menikmati rebat sebulan bil telefon bimbit bagi bulan September, di bawah Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media.

Beliau berkata, semua pengamal media yang memiliki kad perakuan media Jabatan Penerangan layak mendapat rebat satu bulan bil telefon bimbit itu.

“Insya-Allah akan ada beberapa perkara lagi akan diusahakan untuk pengamal media,”katanya.

Selasa lalu, ketika melancarkan pakej 5G RAHMAH Fahmi berkata, ia yang melibatkan pilihan telefon pintar sama ada jenama Samsung A14 5G atau Honor 90 Lite 5G itu, hanyalah merupakan spesifikasi asas bagi pemberian pakej 5G RAHMAH dan pihak telco amat digalakkan menyediakan tawaran yang lebih baik.- BERNAMA

Selepas viral di Sing! China 2023, Vanessa tampil single Igau

0

NAMANYA terus hangat diperkatakan dalam komuniti siber atas kejayaan ke peringkat seterusnya untuk program ‘Sing! China 2023’ di Shanghai.

Dalam program itu Vanessa Reynauld juga telah berjaya memenangi hati ke empat-empat mentor yang terkenal di China.

Selepas viral dengan kisah itu kini Vanessa, 23, telah mengeluarkan single terbaharu berjudul Igau.

Lagu ini telah mendapat sentuhan istimewa daripada penyanyi dan pengubah lagu iaitu Naqiu. 

Vanessa berkata, lagu ciptaan Naqiu itu mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri untuk dirinya.

Manakan tidak, ia diciptakan khas untuk Vanessa dengan mengambil kira aspek kesesuaian vokal yang sangat unik dan luar biasa.

Selain itu, Vanessa dan Naqiu pernah mempunyai lagu duet bersama iaitu Rindu Separuh Nyawa sebagai runut bunyi rasmi untuk drama 2021 dan pencapaian lagu itu telah memperoleh dua kali Anugerah Platinum daripada hasil jualan strim digital di seluruh negara.

“Saya sangat teruja melancarkan single ini apabila dapat tahu lagu ini diciptakan khas untuk saya.

“Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan Naqiu, kami berduet menerusi lagu Rindu Separuh Nyawa yang dijadikan sebagai runut bunyi rasmi untuk drama tempatan.

“Sejak itu, Naqiu merasakan saya mampu menyampaikan lagu yang ‘power vocal’ dan menonjolkan lagi kebolehan vokal saya sehinggalah dia membuat keputusan untuk ciptakan lagu Igau.

“Saya amat menyukai karya Igau kerana Naqiu benar-benar menstrukturkan lagu ini mengikut kesesuaian suara saya,” katanya.

Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik 23 (AIM 23) itu berkata, konsep lagu Igau masih mengetengahkan genre balada rock dan kisah cinta. Namun jalan ceritanya berbeza berbanding lagunya sebelum ini.

“Saya sangat teruja dengan konsep kali ini, kerana ia menekankan elemen lagu cinta dan jiwang.

“Selain itu, lagu ini mempunyai cabaran dalam menyampaikan vokal kerana ia mempunyai perbezaan berbanding lagu saya sebelum ini.

“Tetapi saya yakin, genre lagu seperti ini sangat dekat dengan citarasa pendengar,” katanya.

Igau mengisahkan seorang wanita yang mendambakan seorang kekasih atau pasangan yang mampu memberikan kasih sayang dan kebahagian buat selamanya.

Bagi yang masih bujang atau belum pernah bercinta, lagu ini sesuai untuk mereka kerana ia mengisahkan tentang seseorang yang mengimpikan kekasih yang boleh dijadikan pasangan hidup dan melengkapi antara satu sama yang lain.

“Saya sendiri sebelum ini pun tidak pernah mempunyai pasangan bercinta dan Naqiu pun tahu perkara ini.

“Ini memberikan sedikit cabaran buat saya kerana sukar untuk kaitkan kisah cinta dalam lagu dengan diri sendiri.

“Naqiu ciptakan naskah ini yang boleh dikaitan dengan saya supaya proses rakaman untuk menjiwai dan mendalami makna baris dalam lagu ini berjalan dengan lancar.

“Sebenarnya lagu ini boleh ditafsirkan mengikut perspektif perempuan mahupun lelaki kerana kita semua adalah manusia yang mempunyai perasaan dan fitrah kehidupan yang mahukan pasangan yang boleh melengkapi antara satu sama lain.

“Kadang kala kita mahukan pasangan yang terlalu sempurna sehingga kita lupa kebahagian terletak pada kesesuaian pasangan itu sendiri bukan pada kesempurnaan semata-mata dan ini adalah prinsip yang saya terapkan dalam diri untuk berimaginasikan dalam menyampaikan lagu ini,” katanya lagi. 

Dalam pada itu, Vanessa berkata, lagu Igau sebenarnya sudah dihasilkan sekitar setahun lalu dan lagu ini memerlukan persiapan yang rapi agar ia dapat diterima oleh semua orang.

“Lagu ini telah siap hampir setahun tetapi saya mengambil masa untuk mengeluarkannya kerana saya dan syarikat rakaman mempunyai perancangan dan membuat persiapan yang rapi agar lagu ini dapat dijayakan dengan sempurna.

“Antara persiapan yang dilakukan antaranya saya berlatih menyanyikannya terlebih dahulu dan membuat beberapa perubahan bagi mencantikkan lagi struktur ayat dan sebutan dalam lirik supaya sedap bila dinyanyikan,” katanya.

Vanessa berharap produk terbaharunya ini mendapat sambutan daripada peminat di semua platform baik digital mahupun tradisional.

“Semoga melodi lagu Igau boleh melekat dan menghantui pendengar di luar sana,” katanya. -Edisi 9

Aishah terima santau, sihir melalui kurier

0

PENYANYI Datuk Aishah berkongsi kisah dirinya hampir disantau selepas menerima satu bungkusan yang dikirim melalui perkhidmatan kurier, baru-baru ini.

Aishah berkata, pada awalnya dia menyangka bungkusan itu kepunyaan anaknya namun berasa hairan kerana nama penerima pada bungkusan itu tertera namanya.

Namun keinginan kuat untuk membuka bungkusan itu kerana tertanya apakah barang di dalamnya berikutan dia tidak ada membeli apa-apa barangan.

“Apabila melihat bungkusan itu saya tertanya dan rasa hendak buka tetapi anak suruh tunggu dia pulang ke rumah dahulu.

“Saya mula berasa tidak sedap hati dan tidak lama selepas itu saya mengalami sakit perut agak teruk yang belum pernah saya rasai sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan 10 peserta All Stars Gegar Vaganza, baru-baru ini.

Penyanyi lagu Janji Manismu itu berkata, dia turut mengalami mimpi aneh apabila ada seseorang hendak menerkam dirinya.

“Dalam mimpi itu saya turut melihat seorang lelaki dan mukanya sangat saya kenali.

“Saya pasang ayat Ruqyah di rumah dan mendapatkan rawatan perubatan Islam bagi memulihkan keadaan diri,” katanya.

Aishah berkata, bila memikirkan kejadian itu dan berkongsi kisah yang berlaku dia menjadi paranoid.

“Tidak sangka zaman sekarang masih ada lagi orang yang melakukan perkara seperti ini dengan hantar sihir melalui kurier,” katanya lagi. -Edisi 9

Agong, Permaisuri santuni rakyat sebelum berangkat pulang

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyantuni rakyat yang hadir ke Dataran Merdeka sebelum berangkat pulang.

Usai sambutan Hari Kebangsaan ke-66 kira-kira pukul 10.45 pagi tadi, Seri Paduka berdua mencemar duli bersalaman dengan pengunjung dan berjalan sepanjang 500 meter untuk bertemu rakyat.

Turut serta bertemu pengunjung adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenanan berswafoto bersama pengunjung Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 di Putrajaya, hari ini. – Edisi9/Ahmad Shazwan Md. Yusof

Pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang bertemu dan bersalaman dengan Seri Paduka berdua dan ada dalam kalangan mereka yang menitiskan air mata apabila dapat bersua muka dengan Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka berdua berkena berjalan, menyapa dan ada pengunjung yang dapat berswafoto dengan ketua negara itu.

Baginda berdua kemudiannya mengakhiri sesi tersebut di hadapan Wisma Sumber Asli sebelum berangkat pulang.

Tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong akan berakhir pada 30 Januari depan dan ini merupakan sambutan Hari Kebangsaan terakhir di bawah naungan Baginda. – Edisi 9

Zahid seru bersatu hati, dukung erat semangat perpaduan

0

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru, marilah kita bersama-sama bersatu hati dan mendukung erat semangat perpaduan berteraskan agenda Malaysia MADANI.

Ini katanya, demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara selari dengan tema Hari Kebangsaan 2023 – Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.

“Hari ini, adalah tarikh yang penuh bersejarah, 31 Ogos 2023. Negara kita akan menyambut Hari Kebangsaan sempena 66 tahun negara Malaysia yang kita semua cintai ini mencapai kemerdekaan.

“Dulu detik sebegini diraikan dengan menyanyi lagu kemerdekaan yang didendangkan seperti Tanggal 31 Ogos, Warisan, Bahtera Merdeka dan seumpamanya.

“Tetapi sekarang saya tengok anak muda menyanyi lagu dengan citarasa mereka seperti Standing in The Eyes of The World yang dinyanyikan oleh Ella dan lagu Negaraku yang Faizal Tahir nyanyikan.

“Walaupun kita berlainan era, rentak dan selera nyanyian juga berbeza, tapi matlamat kita tetap sama.

“Kita mahu mempertahankan apa yang telah dicapai selama ini melalui semangat patriotisme dan persefahaman, tanpa mengira latar belakang bangsa dan ideologi politik,”katanya. – Edisi 9

Farm Fresh catat pendapatan RM185.5 juta

0

FARM Fresh Bhd mencatatkan pendapatan RM185.5 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023, angka suku tahunan tertingginya setakat ini yang mewakili peningkatan 28.8 peratus berbanding RM144 juta dilaporkan pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatan lebih tinggi berikutan jualan yang lebih tinggi daripada saluran pengedaran hotel, restoran dan kafe (HORECA), impak positif yang berpunca daripada pelancaran penawaran produk terbaharunya serta jualan yang lebih tinggi daripada anak syarikat kumpulan di Australia.

Pengeluar produk tenusu terkemuka tempatan itu optimis tinjauan prestasi kewangannya menuju ke hadapan meskipun mencatatkan keuntungan yang rendah pada suku kedua 2023 berikutan kenaikan kos bahan mentah tenusu.

Pada suku yang dikaji, keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Farm Fresh masing-masing merosot 58 peratus kepada RM5.9 juta dan RM6.4 juta.

Walau bagaimanapun, sebagai tanda bahawa keuntungan kumpulan akan menjadi lebih baik, pengeluar tenusu itu mencatatkan peningkatan sebanyak 30 peratus untuk PBT dan PATAMI berbanding RM4.5 juta dan RM4.9 juta yang dicatatkan dalam suku sebelumnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata, ketika berhadapan persekitaran operasi semasa yang mencabar, pihaknya gembira kerana masih dapat meningkatkan pendapatan dan bahagian pasaran seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan yang dicatatkan.

Beliau berkata, ia adalah bukti pelaksanaan strategi pertumbuhan yang dilakukan serta pengiktirafan jenama kukuh yang dibina selama bertahun-tahun dengan penekanan terhadap bahan-bahan tulen dan berkualiti tinggi.

“Kami mengharungi tempoh kos input yang meningkat tahun lalu dan terus kekal menguntungkan. Kami kini melihat beberapa perkembangan yang menunjuk ke arah pemulihan kos input dengan harga bahan mentah tenusu secara beransur-ansur turun,” katanya dalam satu kenyataan.

Loi berkata, Farm Fresh kekal giat berkembang dengan rancangan memulakan operasi di Filipina dan melancarkan susu untuk tumbesarannya sendiri dalam bentuk serbuk menjelang akhir 2023.

Beliau berkata, dengan selesainya pengambilalihan Inside Scoop baru-baru ini juga akan membuka jalan untuk kemasukan Farm Fresh ke dalam pasaran aiskrim barangan pengguna dibungkus, yang dirancang pada awal 2024.

Katanya, Farm Fresh juga memulakan operasi kilang pemprosesan Taiping bersama-sama dengan pemasangan barisan pemprosesan tambahan di kemudahan Muadzam Shah untuk menampung permintaan yang semakin meningkat produknya.

“Kilang pemprosesan Taiping membebaskan beberapa kapasiti di kilang pemprosesan di Larkin yang akan membolehkan kami menumpukan eksport ke Singapura yang berkembang dengan kukuh sejak tiga tahun lalu.

“Prospek untuk Farm Fresh kekal positif dengan semua perkembangan terkini, dan kami kekal optimistik terhadap masa depan kumpulan,” katanya. -Edisi 9

Hari Kebangsaan 2023 disambut meriah

HARI Kebangsaan 2023 diraikan penuh meriah di Dataran Putrajaya hari ini dengan menyaksikan seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan peringkat usia menzahirkan rasa kecintaan terhadap tanah air.

Sambutan Hari Kebangsaan yang kembali dianjurkan ke Putrajaya selepas 20 tahun dengan kali terakhir diadakan pada 2003 berjaya menghimpun lebih 100,000 pengunjung.

Bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, program dimulakan pada pukul 8 pagi dengan acara menaikkan Jalur Gemilang.

Persembahan hebat Tim Akrobatik Army Red Warrior Tentera Darat dengan penampilan khas 66 motosikal Royal Enfield pada sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya, hari ini. – Edisi9/Ahmad Shazwan Md. Yusof

Sambutan kemudiannya dihidangkan dengan persembahan Tim Akrobatik Army Red Warrior Tentera Darat dengan penampilan khas 66 motosikal Royaln Enfield.

Ia kemudian disambung dengan aksi terjunan tepat dari helikopter oleh skuad Pasukan 69 Komando (VAT 69) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Acara perbarisan dan perarakan kali ini disertai seramai 17,262 peserta yang melibatkan 67 kontinjen.

Turut dipaparkan adalah 534 aset kenderaan taktikal pelbagai guna serta 100 ekor haiwan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Dataran Putrajaya pada pukul 8 pagi dengan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri kabinet serta orang kenamaan.

Antara aset ketenteraan yang dipamerkan ketika perbarisan Hari Kebangsaan ke-66 di Putrajaya, hari ini. – Edisi9/Ahmad Shazwan Md. Yusof

Acara kemudiannya diteruskan dengan perbarisan dan perarakan lapan kontijen yang terdiri daripada Kontinjen Perpaduan Madani, Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif dan Penyiaran, Sukan Negara, Kesejahteraan serta Keselamatan Negara.

Maskot ‘dinasaur’ gergasi Maxis antara yang mencuri tumpuan pada perbarisan Hari Kebangsaan di Putrajaya, hari ini. – Edisi9/Ahmad Shazwan Md. Yusof

Antara kontinjen yang mencuri tumpuan adalah perarakan maskot gergasi dinasaur oleh syarikat telekomunikasi, Maxis selain ‘abang sado’ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mempamerkan badan sasa mereka.

Antara aset pasukan JBPM yang dipamerkan ketika perbarisan Hari Kebangsaan ke-66 di Putrajaya, hari ini. – Edisi9/Ahmad Shazwan Md. Yusof

Skuad King Cobra JBPM turut membawa seekor ular sawa albino gergasi bersama ketika perarakan selain daripada demonstrasi menyelamat runtuhan dari atas aset jabatan tersebut.

Acara perbarisan disudahi dengan persembahan udara yang membabitkan pesawat tempur, pesawat pengangkut Airbus A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan helikopter agensi penguat kuasa.

Sambutan ini akan diteruskan dengan Hari Malaysia akan disambut pada 16 September ini di Kuching, Sarawak. – Edisi 9

Bantu peniaga, Shopee lancar dan edar 15,000 buku panduan percuma

0

TERUS menyokong penjual e-dagang, Shopee Malaysia melancarkan buku panduan berjudul Shopee Rai Lokal – Terokai Kejayaan Anak Tempatan yang mengetengahkan penjual tempatan dengan prestasi cemerlang di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan.

Buku ini adalah yang pertama seumpamanya diterbitkan di Malaysia dan bertujuan menyeru rakyat membeli dari penjual e-dagang tempatan bagi memelihara warisan negara, memupuk bakat tempatan serta memacu ekonomi secara mampan dan berketerangkuman.

Shopee Rai Lokal memberi peluang kepada penjual tempatan untuk bersuara bagi berdepan halangan dalam talian.

Buku ini mengetengahkan penjual Shopee di setiap negeri dengan prestasi cemerlang dari segi populariti, kedai terbesar, produk hijau, pengeksport, strim langsung, dan juga perniagaan milik wanita.

Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, perniagaan tempatan adalah nadi ekonomi tempatan dan tulang belakang komuniti kita.

“Apabila anda membeli dari kedai tempatan dalam talian, anda menyokong produk buatan Malaysia dari komuniti yang memerlukan.

“Kami gembira perniagaan dalam talian dikendalikan penjual tempatan menerima sokongan kuat rakyat. Kami komited untuk terus bekerjasama dan menyokong perniagaan e-dagang mereka,” katanya.

Buku berkenaan turut mengandungi kisah dan testimonial penjual yang menggunakan kejayaan mereka untuk membantu komuniti setempat.

Selain itu, turut disertakan ‘tips’ membeli-belah dengan selamat di Shopee, penerangan tentang Shopee Guarantee, mengenalpasti penjual bertanggungjawab dan Polisi Keaslian 100 peratus.

Orang awam boleh mendapatkan buku ini di laman web Shopee Malaysia PR Newsroom pada Hari Merdeka, hari ini.

Shopee juga akan mengedarkan sebanyak 15,000 salinan buku ini kepada pelanggan menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini. -Edisi 9