HARI Kebangsaan 2023 diraikan penuh meriah di Dataran Putrajaya hari ini dengan menyaksikan seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan peringkat usia menzahirkan rasa kecintaan terhadap tanah air.
Sambutan Hari Kebangsaan yang kembali dianjurkan ke Putrajaya selepas 20 tahun dengan kali terakhir diadakan pada 2003 berjaya menghimpun lebih 100,000 pengunjung.
Bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, program dimulakan pada pukul 8 pagi dengan acara menaikkan Jalur Gemilang.
Sambutan kemudiannya dihidangkan dengan persembahan Tim Akrobatik Army Red Warrior Tentera Darat dengan penampilan khas 66 motosikal Royaln Enfield.
Ia kemudian disambung dengan aksi terjunan tepat dari helikopter oleh skuad Pasukan 69 Komando (VAT 69) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Acara perbarisan dan perarakan kali ini disertai seramai 17,262 peserta yang melibatkan 67 kontinjen.
Turut dipaparkan adalah 534 aset kenderaan taktikal pelbagai guna serta 100 ekor haiwan.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Dataran Putrajaya pada pukul 8 pagi dengan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri kabinet serta orang kenamaan.
Acara kemudiannya diteruskan dengan perbarisan dan perarakan lapan kontijen yang terdiri daripada Kontinjen Perpaduan Madani, Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif dan Penyiaran, Sukan Negara, Kesejahteraan serta Keselamatan Negara.
Antara kontinjen yang mencuri tumpuan adalah perarakan maskot gergasi dinasaur oleh syarikat telekomunikasi, Maxis selain ‘abang sado’ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mempamerkan badan sasa mereka.
Skuad King Cobra JBPM turut membawa seekor ular sawa albino gergasi bersama ketika perarakan selain daripada demonstrasi menyelamat runtuhan dari atas aset jabatan tersebut.
Acara perbarisan disudahi dengan persembahan udara yang membabitkan pesawat tempur, pesawat pengangkut Airbus A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan helikopter agensi penguat kuasa.
Sambutan ini akan diteruskan dengan Hari Malaysia akan disambut pada 16 September ini di Kuching, Sarawak. – Edisi 9