30.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024
Home Blog Page 274

PM hulur sumbangan kepada anak P. Ramlee

0

KISAH penderitaan anak kepada seniman agung negara, Tan Sri P. Ramlee iaitu Sazali mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi catatan di Facebook malam tadi, Anwar berkata, simpati dengan nasib yang menimpa Sazali, beliau menyerahkan sumbangan kepadanya menerusi Setiausaha Politik, Ahmad Farhan Fauzi, semalam.

“Saya telah mengutuskan Ahmad Farhan untuk segera ketemu Sazali dan menyampaikan bantuan daripada pihak saya. Alhamdulillah, Ahmad Farhan telah berjumpa Sazali petang tadi (semalam).

“Saya amat berharap sedikit sumbangan dari pihak saya ini dapat meredakan beban yang ditanggung Sazali dan isteri.

“Saya mendoakan urusan rawatan dipermudah serta lekas diberi kesembuhan oleh Allah, Insya-Allah,” katanya, malam tadi.

Sazalu sebelum ini dirundung malang selepas terlibat dalam kemalangan dan tidak lagi mempunyai kekuatan untuk bekerja dan mencari rezeki.

Beliau juga kini telah dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, kini, isterinya pula memerlukan perhatian dan rawatan segera daripada doktor akibat masalah tulang belakang dan saraf di leher. – Edisi 9

Amrabat perkuat jentera tengah United

0

MANCHESTER United memuktamatkan perpindahan pemain tengah Fiorentina, Sofyan Amrabat secara pinjaman dengan yuran sebanyak RM46.8 juta.

Klausa pinjaman tersebut termasuk dengan opsyen perpindahan kekal pada akhir musim di mana Red Devils perlu membayar sebanyak RM122.9 juta bagi mendapatkan pemain kebangsaan Maghribi itu.

Bagaimanapun, Amrabat tidak boleh diturunkan ketika aksi menentang Arsenal Ahad ini kerana pemain itu telah didaftarkan selepas pukul 12 tengah hari semalam (waktu tempatan).

Amrabat merupakan tonggak utama Maghribi dan beraksi penuh dalam semua perlawananan untuk negaranya ketika mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar, Januari lalu.

Pada musim lalu, pemain berusia 27 tahun itu memainkan peranan penting ketika membantu Fiorentina layak ke final Coppa Italia dan Liga Konferensi UEFA.

Amrabat menerusi kenyataan di laman web rasmi United berkata, beliau berbangga dapat menjadi pemain United.

“Saya terpaksa (menunggu waktu sesuai) nantikan saat ini tetapi saya selalu mendengar kata hati dan akhirnya dapat juga mewakili kelab impian saya ini. 

“Seorang pemain yang bersemangat, saya mahu bawakan lebih tenaga ke dalam pasukan dan memberikan segalanya setiap kali turun beraksi,” katanya.

Mengulas mengenai ketua jurulatih, Erik ten Hag, Amrabat berkata, dia cukup faham apa yang pengurus itu mahukan daripada setiap pemainnya.

Ini kerana Amrabat pernah beraksi untuk ten Hag ketika di kelab belanda, FC Utrecht pada 2015 hingga 2017.

“Latihan dan tunjuk ajarnya banyak membentuk saya sebagai pemain pada awal karienya,” katanya. – Edisi9

Pengilang setuju beri 20 peratus kuota padi kepada Bernas – KPKM

0

PIHAK pengilang padi telah bersetuju untuk memberikan tambahan 20 peratus kuota padi mereka kepada kerajaan melalui Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi kenyataan berkata, persetujuan itu dicapai melalui sesi libat urus bersama pihak industri pengilang padi dan pemborong beras zon utara di Alor Setar, Kedah pada 27 Ogos lalu.

Katanya, itu merupakan langkah intervensi bagi meningkatkan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

“Melalui program khas BPT ini, Bernas akan memberikan kuota tambahan ini kepada pemborong-pemborong Bumiputera untuk menambah bekalan BPT negara.

“KPKM berharap dengan langkah intervensi ini, bekalan pasaran BPT akan kembali pulih dalam waktu terdekat dengan pertambahan pengeluaran BPT di pasaran,” katanya hari ini.

Harga BPT masih kekal pada harga kawalan RM2.60 sekilogram (kg) sejak 2008 dan ia adalah harga terendah di rantau ini.

Sementara itu, KPKM berkata, pihaknya melakukan pemantauan berterusan di seluruh negara dalam meningkatkan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan pemantauan antara agensi.

Katanya, antara agensi terlibat ialah Kawalselia Padi dan Beras (KPB), KPKM dan Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Operasi Jamin (Op Jamin) sejak 1 Julai lalu.

“KPKM telah melancarkan Operasi Beras Putih (Op BPT) bermula 16 Ogos lalu bagi menumpukan pemeriksaan dan penguatkuasaan peringkat pengilang padi dan pemborong beras seluruh negara.

“Sekiranya didapati ada pihak gagal untuk mematuhi perundangan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522], Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras berhak untuk membatalkan atau menggantung setiap lesen yang telah dikeluarkan,” jelasnya. – Edisi 9

Amira Aisya disenarai hitam berlandaskan undang-undang – RoS

0

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menjelaskan, tindakan menyenarai hitam Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd. Aziz daripada memegang sebarang pertubuhan berdaftar adalah berpandukan undang-undang.

Menerusi satu kenyataan RoS berkata, tindakan yang dikeluarkan ke atas beliau adalah berikutan pembatalan pendaftaran Persatuan Ekonomi Merdeka (No. Pendaftaran: PPM002-10-03112017).

Katanya, ia dibuat melalui notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 13(1)(c) (iv) pada 28 Oktober 2022 oleh Pendaftar Pertubuhan.

“Tindakan tersebut juga mengikat beliau di bawah Seksyen 49 dalam akta yang sama.

“Sehubungan itu, RoS ingin menegaskan bahawa tindakan yang telah dikeluarkan adalah berpandukan kepada segala proses siasatan dan undang-undang yang teratur serta berdasarkan kepada kuasa yang termaktub di dalam Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Amira Aisya semalam memperoleh kebenaran meneruskan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan RoS menyenarai hitamkan dirinya sehingga tidak boleh memegang jawatan dalam sebarang pertubuhan berdaftar.

Kebenaran itu diberi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu dan mahkamah menetapkan 14 September untuk pengurusan kes. 

Permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu difailkan pada 13 Julai lalu melalui firma guaman Tetuan Lim Wei Jiet dan Amira Aisya menamakan RoS sebagai responden tunggal.

Amira Aisya menerusi afidavit sokongan memberitahu, pada 16 April lalu, beliau bersama-sama beberapa aktivis lain membuat permohonan melalui sistem dalam talian eROSES RoS untuk mendaftar sebuah pertubuhan bernama Persatuan Impak Wanita Malaysia (PIWM). 

Namun, RoS Selangor menerusi e-mel bertarikh 18 April lalu memaklumkan permohonan pendaftaran PIWM ditolak kerana disenarai hitam dan tidak dibenarkan memegang jawatan dalam persatuan. – Edisi 9

Tharman Presiden Singapura yang baharu

0

S. THARMAN dipilih sebagai Ketua Negara Singapura yang baharu selepas memenangi pilihan raya Presiden dengan majoriti besar, semalam.

Bekas Menteri Kanan itu menerima 70.40 peratus undi sementara bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte. Ltd., Ng Kok Song (15.72 peratus) dan bekas Ketua Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd., Tan Kin Lian (13.88 peratus).

Keputusan rasmi diumumkan Jabatan Pilihan Raya (ELD) selepas tengah malam.

Keputusan itu tidak jauh berbeza dari keputusan kiraan sampel yang diumumkan lebih awal sekitar pukul 10.45 malam pada Jumaat.

Tharman menerusi Facebook berkata, beliau benar-benar berasa terharu dengan sokongan yang kuat yang diberikan pengundi dalam Pilihan Raya Presiden itu.

“Saya percaya pada undi yang diberikan untuk saya dan apa yang saya perjuangkan adalah undi keyakinan bagi Singapura sendiri, dan bagaimana kita boleh maju bersama dan saling tolong menolong sebagai rakyat Singapura.

Beliau juga berterima kasih kepada calon-calon lain yang telah mengembleng sepenuhnya usaha dan tenaga dalam kempen mereka, dan menjadikannya sebagai pertandingan yang penuh bermakna.

Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Tharman dan berkata bahawa beliau yakin bahawa presiden baru itu akan menjalankan tugasnya dengan cemerlang.

“Sebagai Ketua Negara, beliau akan mewakili kita di dalam dan luar negara, serta melaksanakan kuasa pengawasan, termasuk ke atas rizab negara dan pelantikan penting,” kata Lee dalam satu kenyataan menerusi Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Tharman, 66, merupakan negarawan dan ahli ekonomi Singapura, berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura antara 2011 dan 2019, dan sebagai Menteri Kanan dalam Kabinet antara 2019 dan 2023.

Setakat 8 malam Jumaat, 2,480,760 rakyat Singapura telah mengundi di 1,264 pusat mengundi di seluruh pulau. Seramai 50,152 undi ditolak. – BERNAMA

West Ham naik ke tahta EPL selepas tundukkan Luton 2-1

0

WEST HAM meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas menundukkan Luton Town, 2-1, sekali gus naik ke tahta liga.

Dalam aksi yang penuh mencabar di Kenilworth Road itu, kedua-dua pasukan saling mencipta peluang dalam 30 minit pertama namun gagal disudahkan dengan sempurna.

The Hammers akhir memecah kebuntuan pada minit ke-37 apabila umpanan Lucas Paqueta dari luar kawasan penalti ditanduk Jarrord Bowen ketika penjaga gol, Thomas Kaminski hanya mampu menyentuh bola sebelum masuk ke gawangnya.

Untuk rekod, Bowen gagal menjaringkan sebarang gol dalam 19 perlawanan di tempat lawan musim lalu namun pada musim ini berjaya meledak tiga gol dalam tiga aksi di tempat lawan.

Kali terakhir pemain West Ham berjaya melakukannya dalam aksi di divisyen teratas ialah penjaring terbanyak kelab, Vic Watson pada musim 1930-31.

Luton cuba bangkit selepas itu tetapi tandukan Carlton Morris sekadar singgah di atas gawang sebelum percubaan Tahith Chong sedikit tersasar.

Pada minit ke-51 menyaksikan jaringan kedua pelawat dibatalkan selepas penelitian video bantuan pengadil (VAR) mendapati penjaring gol, Michail Antonio dikesan berada dalam kedudukan ofsaid ketika menerima hantaran Emerson.

Bagaimanapun, West Ham berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-85 menerusi tandukan pertahanan tengah, Kurt Zouma selepas menerima hantaran James Ward-Prowse.

Tuan rumah mendapat gol saguhati pada waktu kecederaan menerusi jaringan Mads Andersen, satu-satunya percubaan tepat Luton sepanjang perlawanan. – Edisi 9

Penderitaan keluarga anak P. Ramlee dapat perhatian PM

0

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Begitulah keadaan yang dihadapi anak Seniman Agung negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sazali apabila beliau kini tidak lagi punya kekuatan untuk mencari rezeki dan dikategorikan orang kurang upaya (OKU) selepas terlibat dalam kemalangan.

Bagaimanpun, nasib yang menimpa Sazali mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menerusi Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi telah menyantuni dan menghulurkan sumbangan kepada Sazali.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, beliau mengetahui keadaan Sazali menerusi laporan media sebelum ini.

“Malang buat beliau tatkala terlibat dengan kemalangan sehingga jatuh dalam kategori OKU dan tidak lagi punya kekuatan untuk bekerja dan mencari rezeki.

“Kini isterinya memerlukan perhatian dan rawatan segera daripada doktor akibat masalah tulang belakang dan saraf pada leher.

“Ahmad Farhan Fauzi berkesempatan menyerahkan sedikit sumbangan kepada beliau petang tadi,” katanya.

Perdana Menteri berharap dengan sumbangan berkenaan dapatlah meringankan beban yang ditanggung Sazali dan isteri.

“Saya mendoakan urusan rawatan dipermudah serta lekas diberi kesembuhan oleh Allah SWT, insya-Allah,” katanya.

Menurut laporan media, Sazali, 62 berada dalam keadaan kurang sihat selepas ditimpa kemalangan pada Disember tahun 2021.

Beliau kini dikategorikan sebagai OKU tidak dapat bekerja dan bergantung sepenuhnya dengan bantuan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kesemuanya berjumlah RM750. – Edisi 9

SPRM ucap tahniah atas pelantikan Ahmad Terrirudin

0

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh atas pelantikan beliau sebagai Peguam Negara baharu berkuatkuasa mulai 6 September 2023.

SPRM menerusi kenyataan berkata, pihaknya yakin Ahmad Terrirudin akan terus menyumbang kepakaran beliau berdasarkan pengalamannya yang luas dalam bidang undang-undang bagi melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai Peguam Negara.

“Sehubungan itu, Suruhanjaya ini mengalu-alukan pelantikan beliau dan berharap dapat meneruskan jalinan kerjasama yang baik dengan Pejabat Peguam Negara ke arah menjadikan Malaysia negara bebas rasuah,”menurut kenyataan itu.

Hari ini, media melaporkan Ahmad Terrirudin 55, dilantik sebagai Peguam Negara baharu bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini.

Pelantikan berkenaan berkuatkuasa 6 September 2023.

Pengumuman berkenaan dibuat Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zuki berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan Ahmad Terrirudin selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. – Edisi 9

Pemandu bas kilang ditahan, rosak poster parti politik

SEORANG pemandu bas kilang ditahan polis di Skudai Kiri, Tampoi kerana disyaki melakukan kerja khianat dengan merosakkan poster sebuah parti politik yang dipasang di sekitar kawasan Tampoi.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 62 tahun itu merosakkan poster parti politik itu dengan menggunakan senjata tajam.

“Hasil semakan rekod pihak polis mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Dalam serbuan itu kira-kira jam 5.35 pagi itu juga kami telah membuat rampasan sehelai bendera parti politik, sebilah pisau mata gergaji, sebuah dashboard camera dan sebuah mini bas kilang dan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sehubungan dengan itu, kes akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan  akan dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin depan,”katanya.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman juga menasihatkan semua parti dan penyokong menghormati satu sama lain dan tidak merosakkan poster, pemidang, kain rentang atau membuat fitnah sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang melanggari undang-undang sedia ada,”katanya. – Edisi 9

Kerajaan negeri tubuh Sekretariat Perantau Anak Pahang

0

KERAJAAN Negeri Pahang akan menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Pahang yang akan menjadi pusat sehenti bagi mengkoordinasi program-program bantuan serta aktiviti perantau anak Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan sekretariat yang berpusat di Kuala Lumpur itu dijangka akan beroperasi pada Oktober 2023.

“Keputusan menubuhkan sekretariat terbabit selepas Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat pada Rabu lalu telahpun bersetuju penubuhan terbabit.

“Sekretariat Perantau Anak Pahang berkenaan yang berpusat di Kuala Lumpur itu akan mengkoordinasi program-program bantuan seperti Bantuan Prihatin Pahang (BPP) serta aktiviti-aktiviti perantau anak Pahang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, sekretariat berkenaan juga akan menjadi penghubung serta membantu Kerajaan Negeri membuat perancangan dari segi kebajikan dan pembangunan rakyat Pahang yang berada di luar dari negeri itu.

“Oleh itu, saya amat berharap kerjasama antara Kerajaan Negeri Pahang dan perantau anak Pahang akan terjalin dengan lebih erat untuk kebaikan bersama,” katanya. – Edisi 9

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga anggota Rela

0

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga anggota Angkatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Muhammad Noh Muhammad Isa, yang meninggal dunia, semalam.

Turut sama menzahirkan ucapan ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istana Negara berkata, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi catatan Facebook hari ini.

Allahyarham adalah ketua kontinjen Rela Negeri Sembilan dilaporkan rebah dipercayai akibat serangan jantung semasa melintasi pentas utama di Dataran Majlis Bandaraya Seremban sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Negeri Sembilan.

Muhammad Noh, 53, dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan dan kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Takziah buat keluarga anggota Rela, Muhammad Noh yang meninggal dunia semalam tatkala bertugas. Terima kasih atas komitmen serta dedikasi saudara buat rakyat dan negara,” katanya menerusi Facebook hari ini. – Edisi 9

Lelaki maki polis kerana enggan tangkap pemiutang

GARA-GARA tidak berpuas hati dengan anggota dan pegawai polis kerana enggan menangkap pemiutang yang menagih hutang daripadanya, seorang lelaki bertindak memaki pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Lim Jit Huey berkata, pihaknya mengesan video kejadian berdurasi 2 minit 41 saat yang tular di media sosial semalam.

Katanya, satu laporan polis turut telah dibuat pada 21 Ogos lalu berkenaan kejadian membabitkan suspek berusia 44 tahun yang mengeluarkan kata-kata kesat di Balai Polis Setia Indah.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan pegawai dan anggota polis Balai Polis Setia Indah kerana tidak mengangkap pemiutang yang datang menagih hutang daripada suspek di premis perniagaannya.

“Siasatan mendapati, suspek mempunyai penyakit mental iaitu penyakit kecelaruan bipolar dan mengalami keadaan emosi luar biasa yang telah disahkan doktor pakar,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau setahun penjara atu kedua-duanya sekali.

Jit Huey dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes sehingga mengganggu siasatan.

“Polis menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada kenyataan yang boleh mengaibkan mana-mana individu,” ujarnya. – Edisi 9