KERAJAAN Negeri Pahang akan menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Pahang yang akan menjadi pusat sehenti bagi mengkoordinasi program-program bantuan serta aktiviti perantau anak Pahang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan sekretariat yang berpusat di Kuala Lumpur itu dijangka akan beroperasi pada Oktober 2023.
“Keputusan menubuhkan sekretariat terbabit selepas Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat pada Rabu lalu telahpun bersetuju penubuhan terbabit.
“Sekretariat Perantau Anak Pahang berkenaan yang berpusat di Kuala Lumpur itu akan mengkoordinasi program-program bantuan seperti Bantuan Prihatin Pahang (BPP) serta aktiviti-aktiviti perantau anak Pahang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata, sekretariat berkenaan juga akan menjadi penghubung serta membantu Kerajaan Negeri membuat perancangan dari segi kebajikan dan pembangunan rakyat Pahang yang berada di luar dari negeri itu.
“Oleh itu, saya amat berharap kerjasama antara Kerajaan Negeri Pahang dan perantau anak Pahang akan terjalin dengan lebih erat untuk kebaikan bersama,” katanya. – Edisi 9