TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru, marilah kita bersama-sama bersatu hati dan mendukung erat semangat perpaduan berteraskan agenda Malaysia MADANI.
Ini katanya, demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara selari dengan tema Hari Kebangsaan 2023 – Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.
“Hari ini, adalah tarikh yang penuh bersejarah, 31 Ogos 2023. Negara kita akan menyambut Hari Kebangsaan sempena 66 tahun negara Malaysia yang kita semua cintai ini mencapai kemerdekaan.
“Dulu detik sebegini diraikan dengan menyanyi lagu kemerdekaan yang didendangkan seperti Tanggal 31 Ogos, Warisan, Bahtera Merdeka dan seumpamanya.
“Tetapi sekarang saya tengok anak muda menyanyi lagu dengan citarasa mereka seperti Standing in The Eyes of The World yang dinyanyikan oleh Ella dan lagu Negaraku yang Faizal Tahir nyanyikan.
“Walaupun kita berlainan era, rentak dan selera nyanyian juga berbeza, tapi matlamat kita tetap sama.
“Kita mahu mempertahankan apa yang telah dicapai selama ini melalui semangat patriotisme dan persefahaman, tanpa mengira latar belakang bangsa dan ideologi politik,”katanya. – Edisi 9