YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyantuni rakyat yang hadir ke Dataran Merdeka sebelum berangkat pulang.
Usai sambutan Hari Kebangsaan ke-66 kira-kira pukul 10.45 pagi tadi, Seri Paduka berdua mencemar duli bersalaman dengan pengunjung dan berjalan sepanjang 500 meter untuk bertemu rakyat.
Turut serta bertemu pengunjung adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil
Pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang bertemu dan bersalaman dengan Seri Paduka berdua dan ada dalam kalangan mereka yang menitiskan air mata apabila dapat bersua muka dengan Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka berdua berkena berjalan, menyapa dan ada pengunjung yang dapat berswafoto dengan ketua negara itu.
Baginda berdua kemudiannya mengakhiri sesi tersebut di hadapan Wisma Sumber Asli sebelum berangkat pulang.
Tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong akan berakhir pada 30 Januari depan dan ini merupakan sambutan Hari Kebangsaan terakhir di bawah naungan Baginda. – Edisi 9