JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) yang mempunyai prefiks M (hadapan) dan sufiks M (belakang) iaitu siri M_M bermula Khamis ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, NPI itu ditawarkan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 pada 31 Ogos ini dan boleh dibida menerusi Sistem JPJeBid oleh orang awam.
Katanya, tempoh bidaan ditetapkan selama lima hari sahaja dan keputusan bidaan akan diperoleh pada 5 September, sehari selepas tarikh bidaan ditutup.
“Tanda Indeks Nombor Pendaftaran Istimewa siri M_M ini dipilih adalah membawa maksud dan lambang Malaysia Merdeka bersempena dengan Hari Kebangsaan pada tahun ini.
“Selain itu, ia akan menjadi kenangan dan menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan 2023. Kaedah penawaran secara bidaan in adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui Sistem JPJeBid,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.
Anthony Loke berkata, tawaran minima bagi nombor bernilai utama (golden) adalah sebanyak RM20,000, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300).
“Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.
“Orang awam dialu-alukan untuk menyertai bidaan NPI sempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 yang Ke-66 melalui Sistem JPJeBid sebagai medium dan saluran untuk mendapatkan pilihan nombor pendaftaran kenderaan siri M_M,” katanya. – Edisi 9