SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 304 kertas undi pos kepada pengundi yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos itu dilaksanakan semalam oleh petugas pilihan raya.
“Bagi PRK Parlimen Pulai, sebanyak 226 kertas undi pos telah dikeluarkan yang terdiri daripada 172 kategori 1A melibatkan petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media.
“Sementara itu, 22 undi pos pula bagi kategori 1B iaitu warganegara yang berada di luar negara, enam untuk Kategori 1C (agensi dan organisasi) serta 26 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ikmalrudin berkata, bagi DUN Simpang Jeram, sebanyak 78 kertas undi pos dikeluarkan yang terdiri daripada 62 Kategori 1A, 10 undi pos bagi Kategori 1B dan enam PTH Luar Negara.
Menurut beliau, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding.
“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada pegawai pengurus sebelum pukul 5 petang pada Hari Mengundi 9 September ini.
“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya. – Edisi 9