MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memberikan ingatan serta amaran sebarang usaha untuk mempromosi serta menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah dengan nilai Islam dan fitrah insan di negara ini adalah tidak boleh diterima sama sekali.
Amaran itu berikutan tindakan luar batas sekumpulan individu yang berhimpun dan berarak di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut beliau, pihaknya telah menerima laporan serta maklum balas masyarakat berkaitan perhimpunan dan perarakan tersebut.
“Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarahkan untuk bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan ke atas perhimpunan dan perarakan tersebut.
“Selaku pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan, JAWI tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pihak agar akur dan menghormati kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahad lalu, PDRM memaklumkan pihaknya telah membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran perhimpunan dan perarakan berkenaan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995.
Seramai 150 orang terdiri daripada aktivis hak asasi manusia, mahasiswa dan ahli parti politik telah berhimpun dan berarak sambil memegang plakad antaranya tertulis ‘Imagine If Men Are As Disgusted With Rapes As With Periods, Child Not Pride, Trans Women Are Women, Police Your Behaviour Not My Body.’
Himpunan tersebut yang diwawarkan sempena hari wanita menimbulkan tanda -tanya serta rasa kurang selesa masyarakat apabila didakwa turut membawa elemen menuntut hak golongan LGBT.
-EDISI9