KERAJAAN bercadang untuk membina pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang bersifat kekal sebagai persediaan untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir di kawasan ‘hotspot’ dan kerap berlaku bencana tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan itu menyasarkan sekolah-sekolah yang sebelum ini sering dijadikan sebagai PPS.
Menurut beliau, peruntukan bagi pembinaan PPS kekal itu akan diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di daerah dan kawasan yang dilanda banjir.
“Sehubungan itu, Menteri Besar akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Tanah dan Galian bagi mengenal pasti tanah untuk pembinaan PPS di kekal di negeri-negeri terlibat.
“Selepas itu, Kerajaan Pusat akan menyalurkan peruntukan untuk pembinaan PPS kekal di kawasan terlibat.
“PPS kekal itu boleh digunakan oleh pihak sekolah sebagai dewan semasa bukan musim banjir.
“Jadi, kegunaan dewan yang dijadikan sebagai PPS itu tidak bermusim,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di PPS SK Jelor di Pasir Puteh, Kelantan, hari ini.
Terdahulu, beliau hadir mendengar taklimat pengurusan bencana di sekolah berkenaan yang turut melibatkan beberapa agensi kerajaan.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, sekiranya gelombang ketiga banjir berlaku, langkah siap siaga perlu dilakukan oleh Nadma atas nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
-EDISI9