26.7 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Kes import Covid-19 meningkat 89.3 peratus

Bilangan kes baharu pada ME 30/2022 menurun sebanyak 5.2 peratus daripada 29,886 kes kepada 28,339 kes

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JUMLAH kes import atau pesakit Covid-19 yang mendapat jangkitan dari luar negara menunjukkan peningkatan sebanyak 89.3 peratus kepada 53 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 30 (24-30 Julai 2022) berbanding hanya 28 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, menerusi perbandingan antara ME 29/2022 dan ME 30/2022, Kementerian Kesihatan (KKM) turut mendapati berlaku peningkatan pada jumlah purata kes aktif.

“Purata kes aktif setiap hari bagi ME 30/2022 adalah 47,176 iaitu terdapat peningkatan sebanyak 3.6 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Kes sembuh juga telah menunjukkan peningkatan sebanyak 35.4 peratus iaitu 22,757 kes kepada 30,823 kes.

“Bilangan kes baharu pada ME 30/2022 menurun sebanyak 5.2 peratus daripada 29,886 kes kepada 28,339 kes di mana kes tempatan menurun sebanyak 5.3 peratus namun bilangan kes import meningkat sebanyak 89.3 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Menurut Dr. Noor Hisham, bilangan kes kematian pada ME 30/2022 menunjukkan penurunan sebanyak 28.6 peratus iaitu daripada 63 kes kepada 49 kes dengan kumulatif kes kematian sebanyak 35,960 kes.

“Untuk makluman, kes-kes positif Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara masih lagi menunjukkan peningkatan dengan bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 3.2 peratus.

“Bagaimanapun kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah telah menurun sebanyak 0.5 peratus begitu juga dengan pesakit yang dirujuk CAC ke Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital yang menunjukkan penurunan sebanyak 19.9 peratus,” ujarnya.

Jelas beliau, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk bagaimanapun telah menunjukkan peningkatan sebanyak 2.8 peratus dengan peningkatan 5.6 peratus bagi pesakit kategori 1 dan 2.

“Bagaimanapun, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan