33.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Kewangan negara stabil, hutang terkawal – Tengku Zafrul

IMF turut mengakui kedudukan hutang Malaysia masih berada pada paras terurus

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEDUDUKAN fiskal negara masih kukuh dan hutang kerajaan Persekutuan masih pada tahap terkawal, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, walaupun negara telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini, kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang.

“Ini membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik.

“MOF ingin menekankan bahawa aspek penting dalam pengurusan hutang adalah kemampuan keberhutangan (debt affordability) dan kemampanan hutang (debt sustainability),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian dengan merujuk beberapa laporan dalam media sosial yang dilihat bertujuan untuk mengelirukan rakyat mengenai kedudukan kewangan dan situasi hutang negara.

Ujar Tengku Zafrul lagi, MOF menyangkal dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat bahawa Malaysia bakal menjadi muflis seperti sebuah negara di Asia Selatan baru-baru ini.

“Selain itu, MOF telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai beberapa laporan palsu di media sosial mengenai kedudukan hutang negara yang dilihat bertujuan mengelirukan rakyat dan berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, pengurusan hutang secara berhemat juga diterapkan melalui undang-undang sedia ada, antara lainnya Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya Kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang (debt charges) berbanding perbelanjaan operasi yang lain.

Malah menurutnya, pengurusan hutang juga adalah berpandukan Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 yang memperuntukkan pinjaman luar pesisir (offshore borrowings) tidak boleh melebihi RM35 bilion.

Advertisements

“Pada akhir Jun 2022, hutang ini berjumlah RM29.4 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 menetapkan bahawa had statutori hutang Kerajaan tidak boleh melebihi 65 peratus daripada KDNK.

Menurutnya, pada akhir Jun lalu, hutang statutori mencatat 60.4 peratus daripada KDNK.

“Selain itu, 97 peratus daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi Ringgit. Ini mencerminkan pengurusan hutang
berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing (foreign exchange risk) adalah minimum,” katanya.

Tengku Zafrul juga menegaskan paras hutang yang tinggi tidak bermakna negara mempunyai risiko kebankrapan.

“Pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain seperti rangka kerja fiskal berhemat, tadbir urus yang utuh dan kedudukan luaran yang baik, serta kekukuhan ekonominya.

Malah menurut beliau, pihak Dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus.

“Baru-baru ini, S&P menjangkakan bahawa perancangan dasar Kerajaan akan menyokong pengukuhan kedudukan fiskal negara.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

MB Perlis ditahan SPRM bantu siasatan salah guna kuasa

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan dakwan salah guna...

Lagi Artikel Berkaitan