26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Mangsa banjir di Kedah meningkat menjadi 176 orang

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PARAS air Sungai Pendang, Kedah yang meningkat sehingga mencecah 3.09 meter akibat hujan lebat semalam menyebabkan mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus bertambah.

Memetik laporan BH Online, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff, berkata jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah meningkat sehingga 176 daripada 45 keluarga berbanding 141 mangsa daripada 36 keluarga yang dilaporkan, semalam.

Beliau berkata, jumlah ini meningkat berikutan pertambahan 35 mangsa daripada sembilan keluarga berpindah ke PPS itu malam tadi selepas rumah mereka ditenggelami air.

“Setakat ini lima mukim di daerah ini terjejas akibat banjir iaitu membabitkan Mukim Ayer Puteh, Mukim Padang Peliang, Guar Kepayang, Padang Pusing dan Bukit Raya.

“Antara kampung terbabit adalah di Kampung Sukamari, Kampung Seberang Pendang, Kampung Alor Punti, Kampung Batu 16, Kampung Tanah Merah Dalam, Kampung Tanjung Radin, Kampung Banggol Besi, Kampung Tok Pauh, Kampung Alor Ali, Kampung Sungai Mati dan Kampung Tok Sedau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yuslina berkata, paras air kini meningkat semula dan pergerakan air masih laju dan sungai yang terjejas setakat ini adalah Sungai Pendang.

Advertisements

Beliau berkata, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pendang sedang melakukan pemantauan di kawasan yang dinaiki air untuk memastikan keselamatan penduduk selain menyukat paras air.

“Penduduk dinasihatkan berpindah sekiranya paras air meningkat di kawasan rumah mereka terutama yang berisiko di kawasan rendah.

“Hubungi pasukan penyelamat untuk melakukan urusan pemindahan dengan segera,” katanya.

Yuslina berkata, operasi turut disertai agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penghulu.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan