31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Kak Nah sujud syukur, Annuar ‘luluskan’ lesen penjajanya

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tiga hari lepas Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa kebetulan bertemu dengan seorang peniaga trak sajian (foodtruck) mini Kak Nah ketika bersiar-siar kaki di satu kawasan di ibu kota.

Beliau singgah dan berbual dengan peniaga terbabit lantas keluarlah soalan sama ada Kak Nah mempunyai lesen perniagaan atau sebaliknya.

Dengan polos, Kak Nah mengaku kalau dia tidak memiliki lesen perniagaan. Itulah yang diceritakan Annuar menerusi twitternya.

“Teruskan berniaga Kak Nah, semoga terus cari rezeki… Lesen boleh diurus nanti,” demikian ciapan Annuar.

Akibatnya Annuar dikecam teruk menerusi akaun twitternya itu kerana seolah-olah membenarkan para peniaga menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Tidak kurang yang mengecam tindakan Annuar yang dianggap tidak adil kepada peniaga lain.

Annuar sebagai menteri yang sangat berpengalaman hanya mendiamkan diri, tidak melenting atau melatah dengan kecaman netizen.

Advertisements

Hari ini, Annuar kembali ke tempat Kak Nah berniaga dan menyerahkan sendiri Lesen Penjaja Beredar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Kak Nah atau nama sebenarnya Minah Awang.

Allahu, tak ada perkataan lain yang dapat diucap oleh wanita tersebut melainkan bersujud syukur kepada Allah SWT.

Bayangkan penantian Minah selama 35 tahun untuk berniaga secara sah akhirnya hari ini tertunai berkat pertemuan tanpa sengaja dengan Menteri Wilayah beberapa hari lalu.

Minah berkata, bukan dia tidak pernah memohon lesen perniagaan, malah beliau acap kali naik turun ke Pejabat DBKL tetapi selalu diberi alasan permohonan sudah dibekukan.

“Sejak 35 tahun lalu, saya sering turun naik ke Pejabat DBKL untuk memohon lesen penjaja.

“Malah sudah lima orang Datuk Bandar silih berganti, namun alasan yang dinyatakan adalah permohonan lesen tersebut dibekukan,” katanya seperti dipetik dari Wilayahku.

Minah yang berniaga nasi dagang, nasi kerabu, nasi lemak dan kuih-muih menyifatkan pemberian lesen perniagaan itu sebagai hadiah yang berharga selepas terpaksa menunggu dalam masa yang lama.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Annuar kerana mempermudahkan urusan permohonan lesen ini,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan