SHAH ALAM – Ketika sambutan Aidilfitri masih lagi diraikan, peniaga lemang Kamarudin Lot, 58, mempunyai cara tersendiri membakar lemang.
Dia menggunakan dapur moden yang mesra alam ciptaannya sendiri.
Dapur dan mesin pemampat beras pulut bagi kaedah pembakaran lemang moden ternyata dapat menjimatkan masa serta mendapat hasil pembakaran yang sekata.
Dapur yang ditransformasikan dari dapur gas ayam golek dijadikan tempat pembakaran lemang dengan menggunakan rangka besi sepanjang 7 kaki dan 5 kaki lebar walaupun beliau memiliki pengalaman membakar lemang secara tradisional sejak tujuh tahun lalu.
“Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP) dilaksanakan terlalu banyak prosedur operasi standard (SOP) untuk dikuti, jadi saya mencipta satu alat yang mudah dan senang dikendalikan walaupun seorang diri.
“Tranformasi dapur moden dan mesin pengisi beras pulut ini saya hasilkan hanya menggunakan bahan- bahan terpakai”, jelas Kamarudin yang lebih popular dikenali sebagai Ayah Chor ketika ditemui Edisi 9 di Fasa 3 Puncak Alam, Selangor semalam.
Anak kelahiran Kampung Gajah, Perak ini merupakan lulusan Institut Kemahiran Mara (IKM), Lumut dalam bidang pembaikan alatan elektrik ini dapat menghasilkan mesin pemampat beras pulut dengan menggunakan kaki kipas, motor mesin basuh dan paip pvc.
Menurutnya kaedah ini dapat mengurangkan pekerja untuk proses penghasilan lemang sepenuhnya.
Selain itu, getaran yang terhasil dari mesin pemampat ini mengikut kelajuan punat kipas membolehkan beras pulut terletak dengan sekata di dalam buluh lemang sebelum dibakar.
“Idea ciptaan ini terhasil sejak PKPB bermula. Kesukaran memilih tempat terbuka untuk menghasilkan lemang bagi jualan dalam musim perayaan ini membuatkan saya dan dua rakan kongsi Kamarul Zaman Hashim dan Abdul Hadi Harun mencari alternatif bagi merealisasikan dapur dan mesin moden ini.
Dapur moden ini mampu membakar sebanyak 70 batang lemang sekaligus dengan nyalaan pembakaran selama 2 jam 30 minit tanpa aroma asap kayu seperti pembakaran secara tradisional yang secara asasnya mengambil masa empat jam.
Bagi yang ingin mendapatkan lemang moden ini boleh menghubungi untuk tempahan di talian 017-3496050. – Edisi 9