KETIKA cuaca panas dan suhu yang tinggi yang melanda ibu kota ketika ini tumpuan warga kota sudah tentunya mencari air kelapa untuk meredakan kepanasan.
Bagi peniaga air kelapa, Azizah Kamarudin yang menjalankan pernaiagaan di Jalan Kepong-Kuala Selangor, cuaca panas sebegini merupakan rezeki baginya kerana mendapat lebih ramai jualan dan melariskan perniagaannya.
Berasal dari Sungai Buloh, dia telah mewarisi perniagaan bapanya sejak 20 tahun lalu bermula dengan modal sebiji kelapa muda daripada 80 sen sehinggalah RM3 manakala harga jualan pula RM5 sebiji.
Gerai yang terletak di hadapan Penjara Sungai Buloh itu telah lama bertapak sebelum pembangunan di sekitarnya dimajukan sebagai kawasan perumahan dan kompleks perniagaan.
Azizah berkata, dia memulakan perniagaan pada pukul 10 pagi dan tutup pada pukul 6 petang dengan purata jualan sehari boleh mencapai sehingga 40 biji.
“Setiap kali nak habis (kelapa muda) saya akan membuat pesanan untuk pembelian.
“Sekali pembelian sebanyak 100 biji kelapa muda yang diambil. Pembekal datang dari Perak dan setiap hari bergerak,” katanya kepada Edisi 9 baru-baru ini.
Menurut Azizah, dalam seminggu pesanan pembelian kelapa muda tersebut bergantung kepada stok simpanan yang ada.
“Setiap tahun harga sebiji kelapa muda akan naik. Lebih -lebih lagi menjelang nak puasa. Kebiasaannya harga naik antara 20 sen dan 50 sen. Cuma pada tahun ini permintaan bekalan kelapa muda berkurangan daripada peniaga.
“Biasa saya ambil bekalan dalam 5,000 ke 6,000 biji kelapa muda semasa bulan puasa. Tahun ini 2,000 biji pun tak sampai,” ujarnya. – Edisi 9