29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pelantikan Mohd. Ali sebagai TYT Melaka tepat, bersejarah

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

KETIKA Tun Leong Yew Koh dilantik Yang Dipertua Negeri Melaka pertama atau  Gabenor Negeri Melaka pada 31 Ogos 1957, Tun Mohd. Ali Rustam yang dilahirkan pada 24 Ogos 1949 berusia 8 tahun.  

Selepas 63 tahun peristiwa bersejarah tersebut berlaku, bekas Ketua Menteri Melaka itu dilantik memegang jawatan berkenaan mulai esok, 5 Jun.

Pelantikan Mohd. Ali yang dilahirkan di Bukit Katil, Melaka, 70 tahun lalu menarik perhatian dan mencatatkan sejarah kerana beliau merupakan anak kelahiran Melaka pertama menduduki jawatan tersebut.

Enam penyandang jawatan berkenaan sebelum ini berasal dari negeri lain.

Tun Leong Yew Kow yang memegang jawatan itu mulai 31 Ogos 1957 hingga 30 Ogos 1959 berasal dari Sungai Perak, ia digantikan oleh anak Negeri Sembilan, Tun Abdul Malek Yusuf mulai 31 Ogos 1959 hingga 30 Ogos 1971, tempat beliau diambil alih oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tun Abdul Aziz Abdul Majid mulai 31 Ogos 1971  hingga 9 Mei 1975.

Tiga penyandang selepas itu turut berasal dari negeri lain iaitu anak Perak,  Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan yang menyandang jawatan itu mulai 25 Mei 1975 hingga 30 November 1984 diikuti bekas Menteri Besar Kedah,  Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin mulai 4 Disember 1984 hingga – 3 Jun 2004 sebelum digantikan bekas Menteri Besar Pahang,  Tun Mohd Khalil Yaakob yang memegang jawatan berkenaan mulai  4 Jun 2004  hingga 4 Jun 2020.

Sememangnya tiada siapapun boleh menafikan sumbangan besar Mohd.Ali kepada negeri Hang Tuah tersebut sehingga memungkinkan pelantikan beliau menggantikan Mohd.Khalil dianggap amat tepat dan paling sesuai. 

Bapa kepada tiga cahaya mata iaitu Mohd.Ridhwan, Wan Nazirah dan Muhm Hamka hasil perkahwinan dengan Puan Sri Asmah Abd.Rahman pada tahun 1985 itu, dianggap pemimpin berjiwa rakyat dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.

Mohd. Ali yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Katil dan Sekolah Kebangsaan Semabok sebelum melanjutka pelajaran di Sekolah Tinggi Melaka (Melaka High School) telah mengubah wajah Melaka apabila dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka selama tiga penggal pada 2 Disember 1999 sehingga 2013.

Pemegang ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) itu telah menjadikan

Melaka sebagai Negeri Maju menjelang 2010. Ketekunan dan kegigihan beliau dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan telah membolehkan negeri itu mencatatkan perkembangan memberangsangkan dalam sektor pelancongan.

Memberi peluang kepada pelancongan melihat wajah negeri Melaka dari Menara Taming Sari dan menyusuri Sungai Melaka melalui perkhidmatan Rivercruise adalah hasil kebijaksanaan Mohd.Ali dalam usaha menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Kemampuan Mohd. Ali membangunkan Melaka adalah berikiutan pengalaman luas beliau dalam bidang perkhidmatan awal yang bermula sebagai Pegawai Kerani Tenaga Nasional sebelum menjadi Pengarah Kemas di empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan dan negeri kelahirannya Melaka mulai 1979 hingga 1983.

Selepas menjadi Setiausaha Khas kepada Ketua Menteri selama dua tahun mulai 1984, semangat perjuangan untuk rakyat yang terus membara memungkinkan beliau dipilih bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek pada tahun 1986.

Sejak tahun tersebut, Mohd. Ali tidak menoleh lagi dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat sehingga beliau diberi peluang bertanding di DUN Sungai Udang dan Paya Rumput seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Kesihatan selepas memenangi kerusi Parlimen Batu Berendam pada pilihan raya umum 1995.

Demi sayangnya beliau kepada Melaka, Mohd.Ali kembali berkhidmat negeri  itu dengan bertanding di DUN Paya Rumput pada pilihan raya umum 1999 seterusnya menjadi Ketua Menteri Melaka.

Sesungguhnya rakyat Melaka beruntung kerana akan memiliki seorang Yang Dipertua Negeri yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat. Mohd.Ali bukanlah seorang pemimpin yang sekadar membaca laporan sahaja tetapi sentiasa turun padang dan membuka kediamannya ’24 jam’ untuk mendengar masalah rakyat.

Penulis sendiri pernah merasai pengalaman mewawancara beliau kira-kira pukul 1 pagi ketika beliau mahu bertanding jawatan Naib Presiden UMNO satu ketika dahulu kerana menanti Mohd. Ali selesai bertemu rakyat. Walaupun sudah dinihari, Mohd. Ali tetap mengukir senyuman menyambut penulis, tiada tanda-tanda keletihan di wajahnya.

Walaupun khidmat beliau kepada rakyat melalui gelanggang politik sudah berakhir namun Mohd. Ali pasti akan meneruskan perjuangan membela mereka sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka. 

Penulis yakin, pemimpin dan rakyat Melaka akan memiliki seorang Yang Dipertua Negeri yang mempunyai gaya kepemimpinan tersendiri yang sudah mampu berikan kesejahteraan serta kegemilangan berterusan kepada negeri berkenaan.  – EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan