29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PH jangan persoal titah Sultan Johor

Mesti Baca

PEMIMPIN-PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) tidak sewajarnya mempersoalkan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan jika wakil-wakil rakyat di negeri itu masih berebut kuasa.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, baginda mempunyai kuasa berbuat demikian mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau hari ini bagi menjunjung kasih titah baginda:

Saya merujuk kepada titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Armarhum Sultan Iskandar bahawasanya “Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor (DUN) serta merta”.

Secara peribadi, saya berpendapat titah DYMM Sultan Johor adalah tepat dan sesuai dengan keadaan politik semasa di Johor di mana pihak PH sebagai pembangkang nampaknya masih tidak bosan bermain politik dalam cubaan menggugat kestabilan kerajaan negeri ini semata–mata ingin memenuhi agenda politik kotor mereka.

Dalam keadaan suasana suram yang tidak menentu ini, PH sepatutnya mendahulukan kepentingan dan mencari inisiatif bersesuaian demi kebaikan rakyat.

Ditambah lagi dengan sikap segelintir pentaksub PH yang mempersoalkan kuasa DYMM Sultan Johor dalam membubarkan DUN Johor.

Ingin saya ingatkan mereka serta pemimpin parti pembangkang supaya jangan mulakan sikap kurang ajar dalam mempersoalkan kuasa–kuasa DYMM Sultan Johor.

Semasa PH berkuasa, kita semua tahu bagaimana mereka membelakangi kuasa Majlis Raja–Raja Melayu sehingga hampir menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan menandatangani Statut Rom di mana ia adalah satu tindakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Alhamdulillah, ketika itu rakyat dan Majlis Raja–Raja temasuk DYMM Tuanku Sultan Johor bangkit dengan lantang bersuara menghalang perkara ini daripada diteruskan.

Jika diteliti, Perkara 23 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor menyebut DYMM Sultan Johor mempunyai kuasa untuk memulakan dan menangguhkan sidang DUN atas nasihat.

Begitu juga dengan Perkara 23(2) yang menyebut baginda mempunyai kuasa untuk membubarkan pada peringkat pertengahan walaupun sidang DUN belum berakhir tetapi mesti atas nasihat dan ini tertakluk kepada Perkara 7(1).

Perkara 7(2)(b) pula menyebut bahawa DYMM Sultan Johor boleh bertindak atas budi bicaranya untuk tidak memberi perkenan baginda dalam membubarkan DUN.

Perkara paling pokok di sini adalah perkataan ‘budi bicara’ di mana jika DYMM Sultan Johor berkehendakkan bahawa adalah demi kebaikan rakyat dan negeri Johor supaya DUN dibubarkan atas nasihat Menteri Besar maka tindakan membubarkan DUN boleh dilaksanakan.

Semua pihak harus sedar bahawa negara kini sedang bergelut dengan pelbagai cabaran semasa dan mendatang seperti pandemik COVID-19, kes pengangguran yang tinggi serta kelembapan ekonomi akibat harga minyak dunia yang merosot.

Oleh itu, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan negara kembali kepada landasan asal demi kesejahteraan rakyat.

Tidak dinafikan, saban hari ada sahaja gerakan yang dilakukan pelbagai pihak bagi melemahkan Institusi Diraja di sini.

Umum ketahui bahawa PH yang memulakan dan membenarkan perkara ini berlaku sewenang-wenangnya ketika mereka di tampuk pemerintahan dengan menutup sebelah mata.

Hari ini dan akan datang, kita tidak mahu perkara sebegini berlaku lagi atas dasar kebencian dan pelbagai perkara yang tidak sepatutnya timbul sekiranya rakyat Malaysia menjiwai Rukun Negara dan memahami apa yang dimaksudkan dengan Raja Berpelembagaan.

Namun sekiranya terdapat gerakan tertentu dan berkeras menolak Raja-Raja Melayu sehingga ke dinding, dengan rasa rendah diri patik memohon agar Majlis Raja-Raja menggunakan peluang yang ada untuk mencari jalan memperkasakan, memperbetulkan dan memperbaiki Perlembagaan Persekutuan termasuk memperkasakan kuasa Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya Akta Darurat perlu digunakan untuk menulis semula Perlembagaan Persekutuan, ini adalah masa sesuai sebelum menyerahkan kuasa memilih kepada rakyat.

Demi memperkasakan kedaulatan agama, bangsa dan negara yang tercinta dari jatuh semula ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab seperti sebelum ini, kami rakyat sentiasa menjunjung tinggi kelangsungan kesultanan Melayu sebagai teras utama politik negara.

Daulat Tuanku!

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan