AMAZFIT memperkukuhkan kedudukannya dalam segmen jam tangan pintar kecergasan apabila melancarkan ekosistem latihan hobrid di Malaysia bersama pengenalan dua model terbaharu, Amazfit Balance 3 dan Amazfit Balance Ultra.
Pelancaran itu menyaksikan jenama peranti boleh pakai milik Zepp Health berusaha menawarkan pengalaman latihan yang lebih menyeluruh menerusi gabungan panduan latihan pintar, penjejakan prestasi serta ciri pemulihan yang direka khusus untuk atlet dan individu aktif.
Pengurus Pemasaran Amazfit Malaysia, Karmun Chow berkata, siri Balance dibangunkan bagi membantu pengguna memahami hubungan antara latihan, pemulihan, tidur, tekanan serta aktiviti harian supaya mereka dapat membuat keputusan latihan yang lebih tepat.
“Atlet dan individu aktif hari ini perlu mengimbangi latihan kekuatan, latihan ketahanan, pemulihan dan komitmen harian.
“Siri Balance membantu pengguna memahami bagaimana semua elemen ini saling berkait bagi membolehkan mereka berlatih dengan lebih bijak, pulih dengan lebih baik dan mencapai prestasi optimum,” katanya pada majlis pelancaran di The Backyard Training di Petaling Jaya, hari ini.

Menurut beliau, ekosistem latihan hibrid Amazfit memanfaatkan aplikasi Zepp yang dipadankan dengan siri Balance untuk menganalisis data pengguna sebelum diterjemahkan kepada pandangan serta cadangan latihan yang lebih bermakna.
Balance Ultra tampil sebagai model premium dengan binaan titanium Gred 5, manakala Balance 3 disasarkan kepada pengguna yang aktif dalam pelbagai aktiviti seperti latihan di gimnasium, larian dan pemulihan harian.
Kedua-dua model turut menampilkan teknologi HybridCharge Energy Intelligence yang menggabungkan BioCharge, LifeLoad dan Training Load bagi membantu pengguna menilai tahap tenaga, kesediaan fizikal serta keperluan pemulihan secara menyeluruh.
Selain itu, jam tangan pintar tersebut dilengkapi ciri Fokus Mingguan, Balance Latihan serta Pelan Latihan Hibrid yang membantu pengguna mengimbangi latihan kekuatan, daya tahan dan pemulihan untuk meningkatkan prestasi dalam jangka panjang.
Sebagai rakan kongsi rasmi peranti boleh pakai HYROX, kedua-dua model turut menawarkan pelbagai fungsi khusus termasuk HYROX Virtual Pace, pelan latihan dan simulasi perlumbaan serta analisis prestasi selepas perlumbaan.
Atlet HYROX Pro dan Duta Amazfit, Mohd Saddam Pittli berkata, pengurusan beban latihan dan pemulihan merupakan faktor utama dalam memastikan prestasi atlet kekal konsisten.
“Balance Ultra memberi gambaran lebih jelas mengenai tahap kesediaan saya. Ia membantu saya mengimbangi latihan intensif dengan tempoh pemulihan yang sesuai supaya dapat terus meningkatkan prestasi tanpa mengalami keletihan,” katanya.
Dari segi spesifikasi, kedua-dua model dilengkapi paparan AMOLED 1.5 inci dengan kaca nilam dan tahap kecerahan sehingga 3,000 nit, sistem GPS dwi-jalur enam satelit, sokongan latihan kekuatan yang mampu mengenal pasti 25 jenis senaman secara automatik serta pemantauan kesihatan meliputi kadar denyutan jantung, HRV, tidur, tekanan, oksigen darah dan kadar pernafasan.
Peranti itu turut menyokong panggilan Bluetooth, kawalan suara Zepp Flow, rakaman nota suara dan storan dalaman.
Bagi ketahanan bateri, Balance 3 mampu bertahan sehingga 21 hari, manakala Balance Ultra sehingga 30 hari dalam satu pengecasan.
Di Malaysia, Amazfit Balance 3 versi keluli tahan karat ditawarkan pada harga RM1,599 dengan harga promosi pelancaran RM1,499 dan mula dijual bulan ini.
Versi titanium Balance 3 pula akan diperkenalkan pada harga RM1,999, manakala Balance Ultra dijual pada harga RM2,599 dengan harga promosi pelancaran RM2,349. — Edisi 9

