Monday, June 22, 2026

MCMC beri amaran jangan hasil, sebar kandungan 3R

Orang ramai dinasihatkan agar menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi bagi mengelakkan salah faham atau permusuhan.

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memberi amaran tegas kepada semua pihak agar tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan berkait isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), khususnya yang bersifat provokatif, menghina, menghasut kebencian atau boleh mencetuskan ketegangan awam.

MCMC berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian dan platform dalam talian yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan agar menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi bagi mengelakkan salah faham atau permusuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCMC akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan untuk memantau, menyiasat serta mengambil tindakan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang.

“Pesalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman denda hingga RM500,000, penjara dua tahun, atau kedua-duanya,” katanya.

MCMC berkata, pihaknya turut mengambil tindakan terhadap penyedia platform yang tidak memberi kerjasama, dan mengingatkan mereka supaya mematuhi undang-undang serta mencegah penyalahgunaan perkhidmatan.

Sebelum ini tular satu lagi kandungan bersifat penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi media sosial sehingga mencetuskan kemarahan orang awam.

Akhir bulan lalu, pentadbir akaun Facebook Huayan The Pureland Learning Centre dipanggil bagi membantu siasatan susulan satu hantaran jelik melampau terhadap Sultan Sharafuddin menerusi akaun media sosial pertubuhan itu.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, lelaki berkenaan tidak mengaku bahawa dia memuat naik kandungan dipercayai mengandungi unsur 3R (raja, agama, kaum) yang menghina Sultan Selangor itu.

Sehubungan itu, katanya, MCMC sedang bekerjasama dengan Meta dan PDRM untuk meneliti dan melaksanakan analisa forensik berhubung siasatan hantaran gambar berbentuk penghinaan terhadap Sultan Selangor itu. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan