Wednesday, June 17, 2026

Penahanan aktivis GSF 2.0 tindakan bacul dan gila – Anwar

Kerajaan tidak akan berdiam diri dan sedang bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan semua yang ditahan dibebaskan segera.

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan rejim zionis Israel menahan aktivis Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 di perairan antarabangsa sebagai tindakan bacul dan gila.

Ini kerana, menurut Perana Menteri, tindakan tersebut hanya semata-mata mahu menghentikan misi kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang berdepan penderitaan akibat konflik berpanjangan.

“Saya telah berhubung dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung penahanan para aktivis GSF.

“Ternyata rejim Zionis Israel sanggup bertindak bacul dan gila apabila menahan aktivis GSF di perairan antarabangsa semata-mata mahu menghentikan misi kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang berdepan penderitaan akibat konflik berpanjangan,” katanya menerusi media sosial hari ini.

Anwar mengulas berhubung tindakan kejam tentera Zionis yang menahan 10 aktivis rakyat Malaysia di Kepulauan Crete, Greece hari ini.

Sani berkata, semua mereka yang menaiki enam daripada 22 kapal ditahan antara jam 1 hingga 11 pagi waktu Malaysia dan 6 petang waktu Greece.

Dalam pada itu Anwar berkata, kerajaan tidak akan berdiam diri dan sedang bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan semua yang ditahan dibebaskan segera.

“Kepada keluarga para aktivis, saya titipkan salam penuh kekuatan.

“Ini adalah saat yang menguji nurani kita sebagai manusia. Kita berdoa agar segala urusan dipermudah, mereka dilindungi daripada sebarang malapetaka, dan diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Rakyat Malaysia yang ditahan itu terdiri daripada wartawan veteran yang juga aktivis kemanusiaan iaitu Zainal Rashid Ahmad atau dikenali ZRA yang menaiki kapal Arkham lll, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (kapal Eros 1), Mohd Shamsir Mohd Isa (kapal Esplai), Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani (kapal Bianca BCN), Mohd Redzal Amzah (kapal Freia) serta Muhamad Muhzin Zaidi (kapal Marea).

Media melaporkan, kapal terbabit dihampiri secara agresif oleh tentera Zionis ketika berada dalam kedudukan 656 batu nautika iaitu zon pelayaran yang sah dan dijamin sepenuhnya. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan