PANTAI Teluk Cempedak bakal menjadi lokasi tumpuan apabila Festival Muzik Air Kuantan dianjurkan selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Mei ini.
Festival tersebut merupakan antara acara yang disenaraikan dalam kalendar Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan.
Jurucakap penganjur, Jazri Danish berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang penganjuran festival berkenaan.
“Antara pengisian yang disediakan termasuk pertandingan bola sepak pantai, sukaneka air, bola tampar pantai, basikal pantai serta boling pantai buah kelapa.
“Selain itu, pengunjung turut dihiburkan dengan pertunjukan api pada waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, orang ramai juga berpeluang mengambil bahagian dalam beberapa acara yang dianjurkan dan kebanyakannya terbuka secara percuma.
Dalam pada itu, pengunjung boleh meluangkan masa bersama keluarga sambil menikmati pelbagai juadah yang dijual di gerai sekitar pantai tersebut.
Penganjur menjangkakan kira-kira 100,000 pengunjung akan hadir ke festival yang julung kali dianjurkan itu, lebih-lebih lagi bersempena cuti panjang Hari Pekerja.
Orang ramai khususnya di negeri-negeri Pantai Timur dijemput hadir bagi memeriahkan festival berkenaan. — Edisi 9

