
SEMINGGU ini penulis berpeluang menghabiskan masa di sebuah bandar yang terletak di Johor iaitu Kluang.
Seperti namanya yang berasal daripada perkataan keluang, sejenis kelawar besar yang pernah banyak mendiami kawasan ini, Kluang terbukti bukan sekadar bandar biasa.
Di sebalik kepesatan pembangunannya, tempat ini menyimpan keindahan alam yang masih belum diterokai sepenuhnya oleh pelancong luar.
Salah satu tarikan semula jadinya yang paling mengagumkan, namun sering dipandang sebelah mata ialah Gunung Lambak sebuah gunung kecil tetapi penuh kejutan bagi pencinta alam dan pengembara yang mencari kelainan.
Terletak hanya beberapa kilometer dari pusat bandar Kluang, Gunung Lambak berdiri megah dengan ketinggian 510 meter dari aras laut.
Dikelilingi hutan hujan tropika yang kaya dengan flora dan fauna, gunung ini menawarkan pengalaman mendaki yang tidak hanya menguji ketahanan fizikal tetapi juga saujana mata memandang dengan kehijauan yang memukau.

Laluan ke puncaknya bukan sekadar perjalanan biasa, tetapi satu ekspedisi yang menghubungkan pengunjung dengan keindahan alam dalam bentuk yang paling indah.
Malah trek yang dibina untuk pencinta hiking di sini juga boleh dipilih kerana ada dua pilihan sama ada mahu yang mencabar ataupun kurang.
Terdapat beberapa laluan pendakian dengan tahap kesukaran yang berbeza, menjadikannya sesuai untuk semua peringkat pendaki daripada yang baru ingin berjinak-jinak dengan aktiviti ini sehinggalah kepada mereka yang lebih berpengalaman dan mahukan cabaran sebenar.

Sejak menjejakkan kaki di kaki gunung, penulis dapat merasakan suasana yang begitu mendamaikan.
Bunyi deruan anak sungai yang mengalir, kicauan burung yang bersahutan, dan udara yang lebih segar menjadikan pengalaman ini berbeza daripada hiruk-pikuk kehidupan di bandar.
Saat penulis melangkah ke kawasan sungai di kaki Gunung Lambak, mata ini segera tertarik kepada satu pemandangan yang begitu luar biasa iaitu aliran air jernih yang berbalut kabus nipis seolah-olah sebuah babak dari dunia fantasi.
Kabus lembut ini bukanlah fenomena semula jadi sepenuhnya, tetapi inisiatif unik pengusaha kafe di sini yang menggunakan efek fog untuk mencipta suasana yang lebih mistik dan estetik.
Ketika matahari pagi menembusi sela-sela dedaunan, sinarnya membias indah pada kabus yang terapung-apung di permukaan air, menjadikan sungai ini kelihatan seperti sebuah tempat magis yang hanya wujud dalam hikayat lama.
Suasana ini bukan sahaja menambahkan daya tarikan bagi pencinta alam dan jurugambar, tetapi juga menghidupkan elemen ketenangan yang membuatkan setiap kunjungan ke Gunung Lambak terasa lebih istimewa.

Meskipun tidak setinggi gunung-gunung lain yang lebih terkenal di Malaysia, Gunung Lambak tetap menjanjikan laluan yang mencabar di beberapa bahagian.
Terdapat trek yang curam dan memerlukan pendaki berpaut pada akar pokok atau tali untuk meneruskan perjalanan. Namun, setiap titik peluh yang dicurahkan sepanjang pendakian akan terbayar sebaik tiba di puncak.
Dari situ, pemandangan yang terbentang begitu mengagumkan anda boleh melihat keseluruhan bandar Kluang dari perspektif berbeza, dengan ladang-ladang kelapa sawit dan kawasan hijau sejauh mata memandang.
Sayangnya, meskipun memiliki keunikan tersendiri, Gunung Lambak masih belum mendapat tempat dalam kalangan destinasi pelancongan utama di Johor.
Mungkin kerana kurangnya promosi atau persaingan dengan tarikan lain di sekitar Kluang seperti UK Farm, Ladang Teh Kluang, dan Kluang Rail Coffee, gunung ini sering dipandang sebagai sekadar lokasi riadah untuk penduduk tempatan.
Sedangkan, bagi mereka yang menggemari aktiviti mendaki atau sekadar mahu lari dari kesibukan kota, Gunung Lambak adalah destinasi yang sempurna.
Selain trek mendaki, kawasan kaki gunung juga dilengkapi dengan taman rekreasi yang mesra keluarga, termasuk laluan joging, pondok rehat, serta kolam renang mini yang boleh digunakan oleh pengunjung. Walaupun kemudahan asas ini cukup baik, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan terutama dari segi penyelenggaraan trek dan papan tanda yang lebih jelas bagi memudahkan pendaki, khususnya yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini.

Namun, satu perkara yang menjadikan Gunung Lambak lebih istimewa adalah hakikat bahawa ia masih belum tercemar oleh arus pelancongan yang terlalu komersial.
Tidak seperti destinasi lain yang sering dipenuhi pengunjung sehingga menghilangkan keasliannya, gunung ini masih menawarkan ketenangan dan pengalaman mendaki yang lebih peribadi.
Ia memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk benar-benar menikmati keindahan alam tanpa perlu berebut tempat atau bimbang akan kesesakan.
Gunung Lambak mungkin tidak sebesar atau sepopular gunung-gunung lain di Malaysia, tetapi ia tetap memiliki daya tarikannya yang tersendiri.
Keindahan alamnya, cabaran pendakiannya, serta ketenangan yang ditawarkannya menjadikannya satu destinasi yang patut diberi lebih perhatian.
Sekiranya anda merancang untuk mencari tempat yang jauh daripada hiruk-pikuk kota tetapi masih mudah diakses, Gunung Lambak adalah jawapan yang tepat.
Jangan biarkan tempat ini terus berada dalam bayang-bayang. Datanglah dan alamilah sendiri keajaiban alam yang tersembunyi di tengah-tengah Kluang ini sebelum ia menjadi rahsia alam yang terus dilupakan. – Edisi 9

