KERAJAAN akan memperkasa sektor pelancongan komuniti dengan memperkenalkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) pengurusan inap desa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana inap desa atau homestay berpotensi besar dalam meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat luar bandar.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, untuk itu Institut Kemajuan Desa (INFRA) telah memperkenalkan kursus khas untuk usahawan homestay dan program TVET homestay.
Menurut beliau, ia bagi menyokong Kepengerusian ASEAN 2025 serta sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Langkah ini amat penting untuk memastikan usahawan desa bersedia mengadaptasi standard antarabangsa dalam pengurusan homestay, sekaligus meningkatkan daya saing sektor pelancongan desa negara,” katanya hari ini.

Zahid berkata, sebagai satu-satunya institut latihan awam (ILA) yang ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, INFRA berperanan sebagai Pusat Bertauliah TVET bagi program homestay.
Dalam masa yang sama, kata beliau, INFRA juga menjadi pusat rujukan utama dengan menawarkan kursus wajib sebagai prasyarat bagi pendaftaran homestay yang sah di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Sebagai Menteri KKDW, saya mahu INFRA terus menjadi peneraju dalam menyediakan modul latihan berimpak tinggi yang bukan sahaja menawarkan kursus, tetapi turut memastikan pembangunan modal insan desa yang berkualiti dan berdaya tahan serta memenuhi keperluan semasa.
“Sehingga kini, INFRA telah melahirkan 295 graduan TVET Program Homestay, manakala 10,094 peserta kursus telah berdaftar di bawah MOTAC sebagai pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM),” katanya.
Pada tahun ini, Zahid berkata, INFRA telah merangka pelbagai program bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengusaha homestay.
Ini termasuk pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Penyeliaan dan Koordinasi Homestay Tahap 3, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Operasi Homestay Tahap 2, Kursus Pengenalan Homestay, Kursus Asas Homestay dan Kursus Lanjutan Homestay.
“Program-program ini menyasarkan penyertaan seramai 1,000 peserta daripada kalangan usahawan desa yang ingin memperkukuh daya saing dalam industri pelancongan.
“Saya yakin, dengan pelaksanaan kursus berkaitan homestay ini, INFRA berada pada kedudukan yang kukuh untuk menjadi institusi unggul dalam memacu pembangunan desa di Malaysia,” katanya. – Edisi 9

