DATUK Seri Aminuddin Harun akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, memelihara kepentingan rakyat serta menjunjung kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Saya yakin berdasarkan pengalaman dan khidmat cemerlang, beliau (Aminuddin) akan terus menjalankan tugas dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan iti kerana mereka hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar kerana gagal menyelesaikan isu intsitusi adat dan undang-undang tubuh negeri.
Tindakan itu menyebabkan kerajaab negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai cukup majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Berikut kenyataan penuh Perdana Menteri berhubung kemelut politik di Negeri Sembilan:
Saya telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus malam tadi bagi membincangkan perkembangan melibatkan institusi Raja dan pentadbiran Kerajaan Negeri, selain menjunjung kasih atas kebijaksanaan Duli Tuanku dalam menangani perkara ini.
Dalam pertemuan tersebut, saya menyokong titah Duli Tuanku agar YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun terus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, memelihara kepentingan rakyat serta menjunjung kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa.
Saya yakin berdasarkan pengalaman dan khidmat cemerlang, beliau akan terus menjalankan tugas dengan sempurna.
Saya juga ingin menegaskan bahawa persoalan yang melibatkan institusi Undang sedang ditangani melalui saluran serta proses yang sah serta kebijaksanaan Undang.
Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh untuk memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Dalam apa jua keadaan, keluhuran institusi Raja dan undang-undang negeri mesti terus dipelihara serta dipertahankan.
Saya juga menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan terus berhemah, beradab dan menjaga ketertiban terutama dalam membicarakan ehwal institusi Raja dan undang-undang negeri. Mmm
“Kemenakan beraja ke mamak, mamak beraja ke muafakat, muafakat beraja kepada kebenaran, dan kebenaran itu berdiri sendiri.”
Untuk rekod, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, PH memenangni 17 kerusi, BN 14 manakala lima lagi dimenangani Perikatan Nasional (PN). — Edisi 9

