Saturday, June 27, 2026

Perluas sokongan hijau bantu PKS hadapi tekanan krisis global

Bagi memperkukuh lagi daya tahan PKS, kerajaan perlu memperkenalkan dasar yang lebih bersasar dan berimpak tinggi.

Mesti Baca

Oleh DR MAS NORDIANA RUSLI

KETEGANGAN geopolitik di Asia Barat telah meningkatkan ketidaktentuan global, khususnya dalam bekalan tenaga, rantaian bekalan, dan kos perdagangan.

Perkembangan ini memberi kesan langsung kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia yang bergantung kepada bahan mentah import serta sumber tenaga seperti minyak dan gas yang terdedah kepada turun naik harga global.

Peningkatan kos bahan api dan logistik telah meningkatkan kos pengeluaran, sekali gus menekan margin keuntungan PKS, terutamanya dalam sektor pembuatan, makanan, dan logistik.

Dalam situasi krisis, PKS berdepan pelbagai cabaran yang menjejaskan kelangsungan operasi. Antaranya termasuk gangguan rantaian bekalan akibat konflik serantau, kelewatan penghantaran, serta peningkatan kos import bahan mentah.

Selain itu, kebergantungan kepada sumber tenaga tidak stabil menyebabkan kos operasi sukar diramal, sekali gus menyukarkan perancangan kewangan.

PKS juga berdepan kekangan dalaman seperti akses terhad kepada pembiayaan, kekurangan kepakaran teknikal, dan kapasiti pengurusan risiko yang rendah, yang mengehadkan keupayaan mereka untuk bertindak balas secara pantas terhadap krisis.

Dari segi kesiapsiagaan, tahap PKS di Malaysia masih bercampur. Walaupun sebahagian firma telah mula mengadaptasi amalan kecekapan tenaga dan digitalisasi operasi, majoriti PKS masih berada pada tahap awal dalam mengintegrasikan inovasi teknologi hijau sebagai strategi daya tahan.

Ini menunjukkan bahawa keupayaan adaptasi PKS terhadap krisis masih terhad dan lebih bersifat reaktif berbanding proaktif.

Sehubungan itu, peranan kerajaan menjadi semakin penting dalam memastikan kelangsungan PKS ketika krisis.

Melalui Bank Negara Malaysia, pelbagai kemudahan pembiayaan telah diperkenalkan, termasuk Targeted Relief and Recovery Facility (TRRF) sejak tahun 2020 yang menyediakan pembiayaan kadar rendah dengan jumlah peruntukan mencecah RM8 bilion bagi membantu PKS menampung kos operasi dan modal kerja.

Selain itu, Fasiliti Teknologi Tinggi dan Hijau (HTG) dengan peruntukan sekitar RM1 bilion diperkenalkan bagi menggalakkan pelaburan dalam automasi dan teknologi hijau, manakala Fasiliti Agromakanan (AF) sebanyak RM2 bilion menyokong sektor makanan dalam menghadapi ketidakstabilan bekalan.

Pada masa yang sama, SME Corporation Malaysia turut menyediakan Geran Pendigitalan PKS yang menawarkan geran padanan sehingga 50 peratus atau maksimum RM5,000 bagi membantu PKS beralih kepada operasi digital yang lebih cekap dan kos efektif.

Di samping itu, kerajaan turut memperkukuh agenda peralihan hijau melalui pelan seperti Pelan Utama Teknologi Hijau 2017–2030 dan Hala Tuju Transisi Tenaga Negara serta insentif cukai seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pelepasan Cukai Pendapatan Hijau (GITE) sejak 2014.

Inisiatif ini bertujuan menggalakkan PKS melabur dalam teknologi cekap tenaga dan tenaga boleh diperbaharui, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga tidak stabil.

Bagi memperkukuh lagi daya tahan PKS, kerajaan perlu memperkenalkan dasar yang lebih bersasar dan berimpak tinggi.

Antaranya termasuk skim subsidi tenaga bersasar bagi mengurangkan tekanan kos operasi dalam jangka pendek, di samping memperluas kemudahan pembiayaan hijau berkadar rendah untuk menyokong pelaburan dalam teknologi cekap tenaga dan tenaga boleh diperbaharui.

Di samping itu, platform pemindahan teknologi perlu diperkukuh bagi menghubungkan PKS dengan institusi penyelidikan dan penyedia teknologi, manakala insentif cukai sedia ada boleh dipertingkatkan melalui mekanisme kelulusan pantas dan kadar potongan yang lebih menarik.

Pengenalan skim jaminan kredit khusus untuk pelaburan hijau juga berpotensi meningkatkan akses pembiayaan kepada PKS.

Dalam jangka panjang, pembangunan rangka kerja daya tahan krisis bagi PKS yang merangkumi pengurusan risiko, kepelbagaian rantaian bekalan, serta integrasi teknologi digital dan hijau adalah amat penting bagi memastikan kelangsungan dan daya saing perniagaan.

Secara keseluruhan, ketegangan geopolitik semasa telah mendedahkan kerentanan PKS di Malaysia terhadap kejutan luaran.

Tanpa tahap kesiapsiagaan yang mencukupi dan sokongan dasar yang berkesan, kelestarian PKS berisiko terjejas dalam jangka panjang.

Oleh itu, inovasi teknologi hijau perlu dilihat bukan sekadar sebagai agenda kelestarian, tetapi sebagai strategi utama untuk mengurangkan risiko, menstabilkan kos operasi, dan memastikan kelangsungan perniagaan dalam persekitaran global yang tidak menentu.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Perakaunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Terkini

Dakwaan Puad serius, tidak bertanggungjawab – Onn Hafiz

“SAYA menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa saya pernah memaklumkan kepadanya kononnya pihak Istana telah “mengarahkan”...

Lagi Artikel Berkaitan