KERAJAAN hari ini mengumumkan penurunan kadar premium bagi Program Tarif Elektrik Hijau (GET) sehingga melebihi 80 peratus, selaras dengan penstrukturan semula tarif elektrik yang mula berkuat kuasa semalam.
Langkah itu disifatkan sebagai inisiatif agresif Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk memperluas akses tenaga boleh baharu (TBB) serta meningkatkan penglibatan sektor korporat dan domestik dalam agenda pengurangan jejak karbon negara.
Dalam kenyataan hari ini, PETRA menjelaskan, kadar premium baharu GET akan dilaksanakan melalui sistem single tier pricing, menggantikan kadar berperingkat sebelum ini:

Bagi kategori domestik dan bukan domestik voltan rendah, kadar premium baharu ditetapkan antara 8 hingga 10 sen/kWj, bergantung kepada tempoh langganan.
“Sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan program sedia ada, kerajaan turut mengumumkan pelaksanaan Program GET Greenpath bermula 1 Ogos 2025,” kata kenyataan itu hari ini.
Katanya, ini khusus bagi memenuhi keperluan industri, pusat data dan pengguna komersial yang memerlukan pengiktirafan rasmi melalui sijil Renewable Energy Certificate (REC).
Di bawah program baharu ini, pelanggan GET boleh mendaftarkan ‘tenant account’ yang akan menerima REC berdasarkan penggunaan elektrik hijau yang telah dibilkan.
Bayaran pentadbiran sebanyak 0.2 sen/kWj akan dikenakan bagi pelaksanaan mekanisme ini oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
PETRA turut memaklumkan bahawa pelanggan GET sedia ada yang terkesan dengan perubahan struktur kos dan kadar premium dibenarkan untuk menamatkan langganan tanpa sebarang penalti sehingga 31 Ogos 2025.
Program GET yang mula dilaksanakan sejak 2021 telah menyumbang lebih 10,500 GWj tenaga elektrik hijau kepada lebih 3,500 pengguna pelbagai kategori setakat ini.
Ia merupakan antara platform penting dalam membantu syarikat memenuhi keperluan Environmental, Social and Governance (ESG) serta menyokong usaha pengurangan pelepasan gas rumah kaca negara.
PETRA menzahirkan harapan agar langkah penambahbaikan ini akan memperkukuh keyakinan pasaran terhadap bekalan elektrik hijau, selain mempercepatkan peralihan tenaga negara seiring matlamat Malaysia MADANI. — Edisi 9

