Wednesday, July 22, 2026

Anwar gesa pelaburan Itali disusuli tindakan konkrit

Malaysia bersedia menjadi rakan strategik dalam sektor pertahanan, namun segala komitmen perlu diterjemah melalui pelaksanaan yang konkrit dan terancang.

Mesti Baca

MALAYSIA terus mengorak langkah memperkukuh hubungan strategik dengan Itali apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi negara dalam siri pertemuan dengan pemain industri utama serta pemimpin kanan kerajaan republik itu.

Dalam sesi libat urus bersama syarikat gergasi pertahanan Itali, Fincantieri dan Leonardo, Perdana Menteri menekankan pentingnya pendekatan antara kerajaan (G2G) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau Asia Tenggara.

“Kita mahu kerjasama jangka panjang yang bukan hanya menguntungkan satu pihak. Malaysia bersedia menjadi rakan strategik dalam sektor pertahanan, namun segala komitmen perlu diterjemah melalui pelaksanaan yang konkrit dan terancang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat Fincantieri dan Leonardo sebelum ini menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, dan kini menunjukkan minat untuk memperluas pelaburan ke Malaysia.

Dalam satu lagi pertemuan, Anwar turut mengadakan perbincangan dengan syarikat tenaga Itali, ENI, bagi meneroka potensi kerjasama bersama Petronas serta peluang pelaburan baharu dalam sektor tenaga bersih.

“Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil, progresif dan diyakini. Kita mengalu-alukan syarikat seperti ENI untuk menyumbang dalam agenda peralihan tenaga negara,” katanya.

Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Antonio Tajani di Rom, Itali hari ini.

Selain sesi industri, Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, di Rom.

Pertemuan tersebut menyentuh pelbagai isu antarabangsa termasuk konflik di Gaza, krisis Ukraine, dan ketegangan di Asia Barat melibatkan Iran dan Israel.

“Hubungan Malaysia dan Itali berasaskan saling menghormati dan telah terjalin sekian lama. Kami komited memperluaskan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk hubungan antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU),” kata Anwar.

Tambah beliau, Itali merupakan antara rakan penting Malaysia di Eropah dalam usaha memperkukuh kerjasama rentas benua demi keamanan dan kemakmuran bersama.

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Itali kali ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha diplomasi ekonomi negara di bawah kerangka Malaysia MADANI. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan