Saturday, June 20, 2026

Obesiti seawal usia persekolahan jejas tumpuan pembelajaran

Jika tidak dikawal dengan baik, obesiti dalam kalangan kanak-kanak boleh membawa kepada pelbagai komplikasi kesihatan...

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

MASALAH obesiti dalam kalangan kanak-kanak di negara ini semakin membimbangkan apabila ada yang dikesan mengalami berat badan berlebihan seawal usia prasekolah, sekali gus menjejaskan kualiti tidur, tahap tumpuan dan prestasi pembelajaran mereka.

Pakar Pediatrik di Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr Ng Hui Yin berkata, fenomena obesiti dalam kalangan kanak-kanak kini berlaku lebih awal berbanding sebelum ini dan ada yang menunjukkan tanda risiko kesihatan sebelum memasuki alam persekolahan.

Menurut beliau, isu berat badan kanak-kanak masih dianggap sensitif oleh sesetengah keluarga sehingga ada ibu bapa yang mengelak untuk berbincang mengenainya secara terbuka dengan doktor.

“Apabila isu ini tidak dibincangkan lebih awal, saringan dan intervensi yang sepatutnya boleh dilakukan pada peringkat awal sering tertangguh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, peningkatan berat badan secara mendadak dalam kalangan bayi atau kanak-kanak kecil perlu diberi perhatian kerana ia mungkin menandakan risiko kesihatan tertentu.

DR NG HUI YIN

“Ibu bapa digalakkan mendapatkan penilaian doktor sekiranya mendapati anak mengalami kenaikan berat badan yang terlalu cepat bagi memastikan punca sebenar dapat dikenal pasti lebih awal,” katanya.

Dr Ng berkata, pakar pediatrik menilai status berat badan kanak-kanak menggunakan carta indeks jisim badan (BMI) berdasarkan piawaian World Health Organization (WHO).

Bagi kanak-kanak berusia bawah lima tahun, berat badan berlebihan ditakrifkan sebagai melebihi dua sisihan piawai daripada median pertumbuhan WHO, manakala obesiti pula melebihi tiga sisihan piawai.

Untuk kanak-kanak berusia lima hingga 19 tahun, berat badan berlebihan merujuk kepada lebih satu sisihan piawai dan obesiti lebih dua sisihan piawai daripada median rujukan WHO.

Menurut beliau, kanak-kanak yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan bersama faktor risiko tertentu perlu menjalani penilaian kesihatan lanjut bagi mengesan kemungkinan komplikasi lebih awal.

Antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk tekanan darah tinggi, perubahan warna kulit menjadi lebih gelap di kawasan lipatan seperti leher dan ketiak, kerap dahaga dan membuang air kecil, berdengkur ketika tidur serta rasa mengantuk pada waktu siang.

“Kanak-kanak yang mengalami masalah ini juga mungkin sukar memberi tumpuan di sekolah dan berdepan penurunan prestasi pembelajaran,” katanya.

Tambah beliau, risiko obesiti juga meningkat sekiranya terdapat sejarah keluarga menghidap penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi atau penyakit jantung.

Selain itu, faktor seperti ibu yang mengalami diabetes ketika mengandung atau bayi dilahirkan dengan berat badan tidak normal turut menyumbang kepada risiko berkenaan.

Menurut Dr Ng, jika tidak dikawal dengan baik, obesiti dalam kalangan kanak-kanak boleh membawa kepada pelbagai komplikasi kesihatan termasuk penyakit jantung, diabetes, masalah hati serta gangguan kesihatan mental.

Beliau berkata, kebanyakan kes obesiti kanak-kanak berkait rapat dengan gaya hidup dan persekitaran harian seperti tabiat pemakanan, tempoh penggunaan peranti elektronik serta tahap aktiviti fizikal.

“Kanak-kanak yang menghabiskan masa terlalu lama di hadapan televisyen atau peranti elektronik biasanya kurang aktif secara fizikal dan cenderung mengambil makanan tinggi gula serta makanan diproses,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan peranan ibu bapa amat penting dalam membantu anak mengekalkan berat badan yang sihat melalui amalan pemakanan seimbang, rutin tidur yang mencukupi serta aktiviti fizikal yang konsisten.

“Kanak-kanak lebih mudah membentuk gaya hidup sihat apabila ibu bapa menjadi contoh kepada mereka,” katanya.

Beliau turut menggalakkan ibu bapa membawa anak menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi membolehkan doktor memantau pertumbuhan serta merancang intervensi yang sesuai jika diperlukan.

“Obesiti merupakan penyakit kronik yang memerlukan pengurusan berterusan. Intervensi awal amat penting bagi mengelakkan komplikasi kesihatan jangka panjang,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan