WORLDWIDE Holdings Berhad, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah menunaikan tanggungjawab pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tahun kewangan 2026 (haul 2025).
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima penyerahan zakat tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria sempena Majlis Ihya Ramadan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.
Menurut Norazlina, sejak mula beroperasi, Worldwide Holdings sentiasa memberi keutamaan pembayaran zakat perniagaan dengan niat memperoleh keberkatan terhadap pendapatan tahunan syarikat.
Menurut beliau, selain itu ia juga sebagai menunaikan kewajipan serta komitmen pihaknya sebagai entiti perniagaan tempatan.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu LZS merealisasikan serta memperkukuh perancangan mereka, khususnya dalam pembangunan sosioekonomi rakyat di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seiring dengan peranan LZS, Worldwide Holdings turut komited dalam menyokong pembangunan sosioekonomi rakyat negeri ini menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), ‘Worldwide Prihatin’.
Antara inisiatif terbaharu yang dirangka sempena Ramadan Al-Mubarak ialah program turun padang bagi mengagihkan sumbangan kepada asnaf fakir miskin disekitar kawasan operasi projek serta agihan kepada masjid dan surau.
Norazlina berkata, Worldwide Holdings juga memperuntukkan sebahagian dana bagi melaksanakan program berteraskan pendidikan dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), di samping bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bagi penganjuran pesta buku.
“Selaras dengan tema ‘Pendidikan’ yang merupakan antara teras utama program CSR ‘Worldwide Prihatin’, kami berharap inisiatif yang dilaksanakan akan mendorong penglibatan lebih aktif Worldwide Holdings dalam usaha meningkatkan taraf serta kualiti hidup rakyat menerusi aspek pendidikan, khususnya di Negeri Selangor.
“Kami percaya pelaburan berterusan dalam pendidikan bukan sahaja mampu membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang berdaya saing dan mampan,” katanya. — Edisi 9

