HASRAT membantu golongan kurang berkemampuan menjejakkan kaki ke Tanah Suci diterjemahkan menerusi pelancaran Tabung Infak Umrah Surau Al-Barakah, Menara Kembar Bank Rakyat yang menyasarkan kutipan sebanyak RM600,000.
Inisiatif tersebut mendapat sokongan padu daripada Bank Rakyat selaku rakan kerjasama utama, selain turut dibantu platform pelancongan Islamik ikhlas.com yang merupakan rakan rasmi AirAsia.
Menurut kenyataan Bank Rakyat, inisiatif itu bukan sekadar mengumpul dana, sebaliknya menjadi wadah memperkasa budaya infak dan kebajikan dalam kalangan masyarakat.
“Bank Rakyat amat berbesar hati dapat bekerjasama dalam menjayakan Tabung Infak Umrah ini. Usaha ini selari dengan komitmen kami untuk terus menyantuni komuniti dan membantu golongan yang memerlukan,” menurut kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu lagi, pihaknya yakin sasaran RM600,000 mampu dicapai dengan sokongan warga kerja serta orang ramai yang ingin merebut peluang menyumbang dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Kutipan dana bermula hari ini bersamaa 1 Ramadan 1447H melalui kaedah imbasan kod QR yang disediakan, sekali gus memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan secara telus dan pantas.
Dana yang terkumpul bakal menaja kos ibadah umrah seramai 100 penerima terpilih dalam kalangan asnaf dan kumpulan B40.
Bank Rakyat berkata, permohonan boleh dibuat menerusi borang di laman web rasmi atau di cawangan Bank Rakyat, dengan pemohon perlu menyertakan kisah inspirasi sebagai asas penilaian.
Semua permohonan akan dinilai oleh jawatankuasa khas yang dilantik bagi memastikan pemilihan dibuat secara adil dan berintegriti.
Bank Rakyat turut menyeru orang ramai agar bersama-sama menjayakan usaha murni ini, sekali gus membuka ruang pahala berterusan serta memberi harapan baharu kepada mereka yang mengimpikan peluang menunaikan ibadah umrah. – Edisi 9

