Sunday, June 14, 2026

Cili Kampung ambil alih 50 peratus kepentingan dalam Dotty’s

Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan, kedua-dua pihak memperuntukkan dana pertumbuhan berjumlah RM5 juta bagi memperkukuh infrastruktur operasi.

Mesti Baca

CILI Kampung Malaysia (Cili Kampung) memperkukuh kedudukannya dalam industri makanan dan minuman (F&B) tempatan apabila menguasai 50 peratus ekuiti dalam Dotty’s Pastries & Coffee Sdn Bhd (Dotty’s).

Langkah tersebut menandakan fasa konsolidasi baharu dalam segmen kafe artisanal halal premium dan sajian Melayu moden, dengan kedua-dua jenama menyasarkan pengembangan berskala nasional dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pengarah Cili Kampung, Anwar Azeez berkata, di bawah perjanjian tersebut, pihaknya melanggan sebanyak 11,956,234 saham baharu daripada nilai keseluruhan Dotty’s berjumlah RM23.9 juta.

Beliau berkata, pengambilalihan kepentingn itu sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap kekuatan jenama, inovasi produk serta potensi pertumbuhan jangka panjang syarikat itu yang kini memasuki ulang tahun ke-10 operasi.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan, kedua-dua pihak memperuntukkan dana pertumbuhan berjumlah RM5 juta bagi memperkukuh infrastruktur operasi.

Selain itu, ia bagi meningkatkan keupayaan rantaian bekalan serta mempercepatkan peluasan rangkaian cawangan di lokasi bertrafik tinggi termasuk pusat bandar dan hab gaya hidup utama.

Anwar berkata, pelaburan tersebut adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kumpulan untuk membina platform F&B yang berdaya saing dan berskala besar.

“Pengambilalihan ini membolehkan kami menginstitusikan jenama yang mempunyai asas pelanggan kukuh dan reputasi artisanal premium. 

“Dengan disiplin operasi serta kepakaran pengembangan yang dimiliki Cili Kampung, kami yakin dapat mempercepatkan pertumbuhan Dotty’s secara mampan,” katanya hari ini.

Pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman itu, Anwar mewakili pihak Cili Kampung manakala Dotty’s diwakili oleh Pengasas yang juga Pengarah Dotty’s, Nadia Nasimuddin.

Hadir sama Ketua Pegawai Pemasaran Cili Kampung, Kesavan (KC) Purusotman dan Pengurus Kanan Komersial & Pembangunan Perniagaan Dotty’s, Kaylee Low.

Menurut Anwar, gabungan dapur pusat Dotty’s yang diperakui halal dan harta intelek produk premium dengan model operasi berpusat Cili Kampung akan meningkatkan kecekapan kos serta memastikan konsistensi kualiti pada skala lebih besar.

Sementara itu Nadia berkata, kerjasama itu membuka lembaran baharu bagi jenama tersebut untuk beralih daripada perniagaan bebas kepada entiti yang mempunyai kebolehskalaan luas dan struktur tadbir urus lebih kukuh.

“Dengan sokongan rakan kongsi strategik, kami memberi tumpuan kepada pengembangan terkawal tanpa mengabaikan piawaian artisanal dan pengalaman hospitaliti yang menjadi teras jenama ini sejak penubuhannya,” katanya.

Pengambilalihan tersebut turut menyusuli pelancaran semula cawangan utama Dotty’s di Suria KLCC yang menampilkan konsep kedai berwajah baharu dan menu sajian sepanjang hari, sekali gus mengukuhkan kedudukan jenama itu dalam lokasi runcit premium. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan