KERAJAAN dicadang agar jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat kes Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dipantau oleh badan bebas yang berkredibiliti tinggi sama ada Jawatankuasa Parlimen dwipartisan atau tribunal bebas.
Cadangan itu dikemukakan oleh Pemuda UMNO memandangkan SPRM adalah institusi yang berdiri atas satu asas paling penting yakni kepercayaan rakyat.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, tanpa kepercayaan tersebut, apa juga siasatan, pendakwaan dan usaha memerangi rasuah akan sentiasa dipersoalkan, malah boleh dilihat sebagai tidak mempunyai legitimasi moral di mata rakyat.
“Sebab itu, dalam mana-mana negara yang serius memerangi rasuah, integriti institusi adalah lebih penting daripada mempertahankan individu.
“Hari ini, apabila wujud siasatan terhadap kepimpinan tertinggi SPRM, persoalan pokok yang perlu dijawab bukan sekadar “apa keputusan siasatan”, tetapi sejauh mana proses siasatan itu diyakini bebas, telus dan tidak mempunyai konflik kepentingan.
“Jika prosesnya sendiri diragui, maka apa juga hasilnya nanti tetap akan dipersoalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas titah amaran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam bahawa lebih ramai lagi di dalam ‘radar’ Seri Paduka Baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan, termasuk SPRM.
Seri Paduka Baginda bertitah, rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara.
“Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan atau mereka yang memberi dan menerima.., malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi.
“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” titah Seri Paduka Baginda.
Dr Akmal berkata, cadanag tersebut bukan bermakna Pemuda UMNO mempertikaikan mana-mana pihak, tetapi soal memastikan keputusan siasatan tidak dipandang sebagai keputusan “kerajaan menyiasat kerajaan”.
Dalam masa yang sama, tehas beliau, bagi menjaga integriti dan kredibiliti SPRM sebagai agensi utama membanteras rasuah, langkah paling bertanggungjawab ketika siasatan sedang berjalan ialah merehatkan sementara Azam sehingga siasatan selesai.
Beliau berkata, langkah itu adalah amalan standard dalam mana-mana institusi yang mementingkan integriti dan bukan bermaksud sebagai hukuman, tetapi langkah pentadbiran bagi mengelakkan persepsi campur tangan atau konflik kepentingan.
“Kepada Tan Sri Azam Baki, prinsipnya mudah – berani kerana benar. Jika tidak bersalah, rehat sementara bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti.
“Malah, ia memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan lebih bebas dan telus, dan sekiranya didapati tidak bersalah, beliau boleh kembali menjalankan tugas dengan mandat moral yang jauh lebih kuat,” katanya.
Namun jika sebaliknya berlaku, maka proses undang-undang mesti berjalan tanpa kompromi.
“Rakyat hari ini bukan sekadar mahu melihat rasuah dibanteras, tetapi mahu melihat bagaimana ia dibanteras,” katanya.
Dr Akmal berkata, ketelusan bukan pilihan, ia adalah keperluan manakala kepercayaan rakyat tidak akan datang melalui kenyataan semata-mata, tetapi melalui tindakan berani yang menunjukkan bahawa institusi lebih besar daripada mana-mana individu.
Jumaat lalu, Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas siasatan berhubung dakwaan terhadap Azam.
Beliau berkata keputusan dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kawatankuasa khas itu akan diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam pada sidang medianya baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur. — Edisi 9

