Monday, July 20, 2026

Sultan Selangor seru rakyat tolak politik perpecahan

Malaysia dibina atas asas kepelbagaian kaum, agama dan budaya justeru, kekuatan itulah  yang menjadikan negara ini unik serta dihormati di persada dunia - Sultan Sharafuddin Idris Shah

Mesti Baca

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru seluruh rakyat agar tidak terpengaruh dengan sikap segelintir pihak khususnya ahli-ahli politik yang gemar meniup api perpecahan demi kepentingan sempit. 

Titah baginda, perpaduan yang telah dibina sejak sekian lama tidak seharusnha digadai oleh retorik yang memecah-belahkan masyarakat. 

“Negara ini milik kita bersama, dan keharmonian yang dikecapi hari ini adalah hasil toleransi serta kebijaksanaan generasi terdahulu.

“Beta berharap agar rakyat jelata terus memelihara keharmonian dengan menjadikan nilai kesederhanaan, rasa hormat dan semangat kekitaan sebagai pegangan bersama. 

“Hormatilah perayaan agama dan budaya kaum lain sebagaimana kita mahu perayaan kita dihormati,” titah baginda dalam Perutusan Tahun Baharu Cina menerusi media sosial hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, perayaan seperti Tahun Baharu Cina bukan sekadar tradisi turun-temurun, bahkan merupakan lambang kekayaan budaya dan warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara kita. 

Titah baginda, Malaysia dibina atas asas kepelbagaian kaum, agama dan budaya justeru, kekuatan itulah  yang menjadikan negara ini unik serta dihormati di persada dunia.

“Beta ingin mengingatkan bahawa setiap perayaan harus dijadikan wadah untuk memperkukuhkan semangat muhibbah dan saling hormat-menghormati antara semua kaum. 

“Biarlah kunjungan rumah terbuka, ucapan tahniah dan amalan berkongsi rezeki menjadi bukti keikhlasan kita dalam menghormati kepercayaan dan budaya antara satu sama lain,” titah baginda.

Sempena sambutan perayaan tersebut, baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh masyarakat Tionghua yang meraikannya di negeri Selangor dan juga di seluruh Malaysia. 

“Semoga tahun yang baharu ini membawa kesejahteraan, kemakmuran serta kebahagiaan buat semua,” titah baginda. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan