ASIA Automotive Award (AAA) melebarkan sayap ke peringkat serantau apabila menjadikan Bangkok, Thailand sebagai penganjuran edisi kelimanya, iaitu kali pertama diadakan di luar Malaysia.
AAA yang dianjurkan oleh AsiaAuto Venture Sdn. Bhd., kali ini dihoskan oleh Grand Prix International Public Company Limited dengan sokongan persatuan dan badan profesional automotif utama di Thailand.
Penganjur AAA dalam kenyataannya berkata, penganjuran di Thailand mencerminkan peluasan peranan AAA sebagai platform penting dalam memperkukuh kerjasama rentas sempadan serta memperkasakan ekosistem industri automotif dan mobiliti di Asia.
Bertemakan “Driving the Future of Asia Automotive Business Together”, edisi 2025 menghimpunkan pemimpin industri automotif dari 12 negara Asia termasuk Malaysia, Thailand, Jepun, Korea Selatan, China dan Indonesia.
Majlis penyampaian anugerah dan makan malam gala bertemakan black-tie berlangsung di Centara Grand CentralPlaza Ladprao, Bangkok, dengan kehadiran eksekutif kanan dan pembuat keputusan industri automotif dua dan empat roda.
Acara tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Office of Industrial Economics Thailand, Supakit Boonsiri, yang menzahirkan sokongan kerajaannya terhadap kerjasama strategik antara industri dan sektor awam.
“Memasuki edisi kelima, AAA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penanda aras kecemerlangan industri automotif Asia dengan penerimaan 250 penyertaan merentasi 11 kategori anugerah,” kata kenyataan itu hari ini.
Katanya, daripada jumlah itu, 150 penyertaan mara ke peringkat temu duga akhir, menjadikan edisi kali ini yang paling kompetitif sejak diperkenalkan.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Automotif kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas sumbangan beliau meletakkan asas industri automotif nasional.
Anugerah sama turut disampaikan kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Grand Prix International Public Company Limited, Dr. Prachin Eamlumnow atas sumbangan berterusan kepada industri dan landskap automotif Thailand.
Pengerusi A– Thailand Chapter, Dr. Por Boon Kuan berkata, peluasan AAA ke peringkat serantau mencerminkan keperluan terhadap platform automotif Asia yang bersatu dan berdaya saing.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Produksi Grand Prix International merangkap Naib Presiden acara, Anothai Eamlumnow berkata, AAA dijangka terus berkembang sebagai platform utama yang menyatukan serta memperkasa industri automotif Asia.

