CADANGAN Penentuan Suruhanjaya bagi Standard Mandatori untuk Pendaftaran Pengguna Perkhidmatan Selular Awam Prabayar (Standard Mandatori) telah mendapat sokongan meluas dan konsisten bukan sahaja dalam kalangan orang awam tetapi juga pihak industri.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, maklum balas itu diterima hasil Laporan Siasatan Awam yang diterbitkan pada 14 Oktober lalu.
Menerusi laporan siasatan awam tersebut, orang ramai dan industri menyokong keperluan memperketat proses pendaftaran prabayar untuk melindungi pengguna dan mengukuhkan keyakinan terhadap perkhidmatan digital.
“Selaras dengan peruntukan Seksyen 61(1)(d), tempoh Siasatan Awam telah dilaksanakan selama minimum 45 hari sehingga 28 November 2025.
“Dalam tempoh tersebut, MCMC telah menerima 15 penghujahan, iaitu 10 daripada Penyedia Perkhidmatan dan lima daripada orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MCMC berkata, kelemahan dalam pendaftaran prabayar telah menyebabkan kad SIM disalahgunakan secara meluas bagi kegiatan penipuan, termasuk penipuan dalam talian.
Justeru, katanya, rangka kawal selia perlu diperkukuh bagi menangani amalan pendaftaran yang tidak konsisten serta kewujudan kad SIM praaktif dan pendaftaran palsu di pasaran.
MCMC menegaskan, mekanisme pendaftaran kendiri sedia ada bergantung kepada muat naik dokumen dan kaedah ini terdedah kepada pemalsuan dan kecurian identiti.
Manakala, ketiadaan identiti digital yang selamat katanya, juga mengehadkan kebolehkesanan dan kebertanggungjawaban pengguna.
“Secara keseluruhannya, kelemahan ini menimbulkan risiko yang ketara terhadap keselamatan pengguna, keselamatan negara dan integriti perkhidmatan digital, sekali gus memerlukan rangka kerja kawal selia yang lebih selamat, seragam dan boleh dikuatkuasakan,” katanya.
Pelaksanaan siasatan awam bagi penentuan Standard Mandatori dilaksanakan selaras dengan Seksyen 65, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
MCMC berkata, secara keseluruhannya, kelemahan tersebut menimbulkan risiko yang ketara terhadap keselamatan pengguna, keselamatan negara dan integriti perkhidmatan digital.
Katanya, ini sekali gus memerlukan rangka kerja kawal selia yang lebih selamat, seragam dan boleh dikuatkuasakan.
Kata MCMC, Standard Mandatori yang dicadangkan itu memperkenalkan rangka kerja kawal selia yang diperkukuh bagi meningkatkan keselamatan, integriti dan akauntabiliti dalam pendaftaran kad SIM prabayar.
“Langkah‑langkah utama, termasuk platform pendaftaran automatik yang selamat, pengesahan biometrik serta penetapan tanggungjawab yang lebih jelas bagi penyedia perkhidmatan dan pengedar, menyediakan kawal selia yang lebih ketat terhadap pendaftaran palsu dan penggunaan tidak wajar perkhidmatan prabayar,” katanya.
MCMC berkata, salah satu penambahbaikan utama dalam Standard Mandatori itu ialah pengintegrasian MyDigital ID sebagai mekanisme pengesahan bagi pendaftaran kendiri, yang terpakai kepada individu yang memiliki MyDigital ID.
Katanya, langkah tersebut menyokong inisiatif identiti digital nasional Kerajaan dan menyediakan tahap jaminan yang lebih tinggi bagi pendaftaran kendiri, sekali gus mengukuhkan integriti dan kebolehpercayaan proses pendaftaran prabayar. — Edisi 9

