Friday, July 24, 2026

Dua minggu terakhir penuh makna, emosi – Pearly Tan

Tempoh berkenaan ibarat satu “roller-coaster” emosi yang menguji kekuatan fizikal, mental dan perasaan, namun pada masa sama banyak mengajar mereka...

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

PEMAIN beregu wanita negara, Pearly Tan menyifatkan dua minggu terakhir kempen 2025 sebagai satu perjalanan yang meletihkan.

Bagaimanapun ia sarat dengan makna selain menjadi pengalaman tidak akan dilupakan sepanjang kariernya bersama gandingannya, M. Thinaah.

Menurut Pearly, tempoh berkenaan ibarat satu “roller-coaster” emosi yang menguji kekuatan fizikal, mental dan perasaan, namun pada masa sama banyak mengajar mereka untuk menembusi batas kemampuan diri.

“Ia memang meletihkan tetapi sangat bermakna. Dua minggu ini benar-benar menguji kami, namun kami belajar banyak perkara dan berjaya memecahkan banyak had diri. Itulah yang paling penting,” katanya sejurus perjalanannya di kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF berakhir, semalam.

Dia dan Thinaah yang meraih pingat emas beregu wanita di Sukan SEA Ke-33 di Bangkok, Thailand sebelum terbang ke Hangzhou, China untuk menyertai para pemain lain yang layak beraksi di pentas penutup tirai Jelajah Dunia itu.

Pada kejohanan itu, Pearly-Thinaah berjaya menduduki tangga teratas kumpulan hasil dua kemenangan, sekali tewas sebelum disekat pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto di separuh akhir dengan 19-21, 13-21.

Mengulas penutup tirai musim 2025, Pearly berkata, tahun ini meninggalkan pelbagai kenangan berharga yang akan terus dikenang, hasil sokongan padu peminat yang sentiasa bersama mereka dalam setiap detik suka dan duka.

“2025 dipenuhi dengan pelbagai emosi — kegembiraan, kesedihan, kesakitan dan juga keterujaan. Namun setiap perasaan itu menjadi sebahagian daripada memori paling berharga buat kami. 

“Terima kasih kepada semua peminat yang berjalan bersama kami sepanjang perjalanan ini,” ujarnya.

Pearly turut merakamkan penghargaan kepada pasukan sokongan, jurulatih, ahli keluarga serta rakan-rakan yang sentiasa berdiri teguh di belakang mereka, khususnya ketika melalui saat paling sukar.

“Tanpa sokongan semua pihak, saya tidak akan berada di sini hari ini untuk melakukan apa yang paling saya cintai dalam hidup saya. Kehadiran mereka semua membawa makna yang sangat besar,” katanya.

Dalam masa sama, Pearly tidak lupa menzahirkan penghargaan istimewa kepada Thinaah yang disifatkan telah menunjukkan perkembangan ketara sepanjang musim ini.

“Terima kasih kerana sentiasa bersama saya, sisi ke sisi dan hati ke hati. Tahun 2025 benar-benar membawa kamu keluar dari zon selesa, dan saya sangat bangga melihat bagaimana kamu berkembang dan menjadi versi terbaik diri kamu,” katanya.

Menjelang musim baharu, Pearly optimis dan berazam untuk melangkah lebih kukuh bersama pasangannya pada tahun 2026.

“Mari kita melangkah lebih kuat ke tahun 2026. Ia pasti akan menjadi tahun yang lebih menarik untuk kami,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan