UNIVERSITI Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL-BMI) terus membuktikan keupayaannya sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi selari dengan keperluan industri global, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke kampus UniKL-BMI bagi meninjau fasiliti latihan serta pelbagai inisiatif TVET berteknologi tinggi yang sedang dilaksanakan institusi berkenaan di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, beliau berbangga dengan komitmen UniKL-BMI dalam melahirkan tenaga mahir khususnya dalam bidang elektrik, elektronik, semikonduktor, telekomunikasi dan bioperubatan elektronik.
“Dengan kadar kebolehpasaran graduan yang mencapai 97.2 peratus pada tahun lalu, ia jelas membuktikan bahawa model latihan berpaksikan industri yang dilaksanakan UniKL-BMI sedang membuahkan hasil yang amat memberangsangkan,” kata beliau.
Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam lawatan sama, Ahmad Zahid turut merasmikan Sustainable Energy Living Lab (SELL), yang merupakan bangunan netzero atau energy plus pertama di Malaysia dan berperanan sebagai pusat latihan penting dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui serta tenaga pintar.
Ahmad Zahid berkata, penubuhan SELL selari dengan hala tuju negara ke arah peralihan tenaga masa depan dan pembangunan ekonomi hijau yang mampan.
“Apa yang saya saksikan di UniKL-BMI hari ini menambahkan keyakinan saya bahawa TVET Malaysia berada di landasan yang tepat untuk melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berdaya saing serta bersedia memenuhi keperluan industri global,” ujarnya.
Beliau turut memberi jaminan akan terus memantau perkembangan institusi TVET di seluruh negara bagi memastikan ekosistem TVET Malaysia terus diperkukuh demi masa depan anak-anak dan pembangunan negara. – Edisi 9

