PERSEKUTUAN Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa (FIFPRO) mempersoal keputusan Jawatan Rayuan FIFA berhubung tujuh pemain yang memohon kelayakan untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia.
Menurut FIFPRO, hukuman yang dikenakan terhadap mereka iaitu penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, adalah sangat tidak seimbang dengan keadaan sebenar kes tersebut.
“Jelas bahawa para pemain sebenarnya adalah mangsa dalam hal ini,” kata FIFPRO dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Pertubuhan itu mengulas keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang menjatuhkan hukuman penggantungan daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan atas dakwaan memalsukan dokumen.
Tujuh pemain warisan terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Menurut FIFPRO, keputusan tersebut mengesahkan para pemain terbabit tidak memalsukan sebarang dokumen untuk mendapatkan kelayakan, dan turut mengakui dokumen yang mereka serahkan adalah asli.
“Apabila tidak kurang daripada tujuh pemain berada dalam situasi yang sama, jelas bahawa sebarang kemungkinan pemalsuan dokumen bukan berpunca daripada tindakan individu.
“Para pemain juga tidak mempunyai cara untuk mendapatkan pengesahan rasmi daripada FIFA berhubung kelayakan mereka secara individu, satu prosedur yang sebenarnya tidak diwajibkan di bawah peraturan semasa,” katanya.
Oleh itu, tegas FIFPRO, perkara itu amat membimbangkan apabila mereka dipertanggungjawabkan atas dokumen yang dihantar oleh sebuah persatuan bola sepak kepada FIFA.
Sedangkan, katanya, para pemain terbabit tidak pernah mengeluarkan atau menyerahkan dokumen tersebut.
Jelas FIFPRO, tujuh pemain terbabit telah mengikut segala prosedur yang ditetapkan: mereka menghantar dokumen peribadi serta hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia.
Selain itu, mereka juga menjalani upacara angkat sumpah, menerima pasport yang dikeluarkan kerajaan, dan menunggu kelulusan kelayakan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Semua langkah ini ditangani oleh institusi luar kawalan mereka, namun kini mereka berdepan penggantungan daripada kelab masing-masing dan akibat serius yang bakal menyusul, tanpa sebarang kesalahan daripada pihak mereka sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, FIFPRO berkata, pihaknya memberi sokongan penuh kepada para pemain berkenaan dan percaya bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan membatalkan ketidakadilan tersebut. — Edisi 9

