RAKYAT Malaysia yang berkunjung ke Timor-Leste kini menikmati perayauan mudah alih lebih lancar pada harga berpatutan sejak 17 Oktober lalu.
Ini berikutan pengendali rangkaian mudah alih utama Malaysia (MNO) iaitu CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YTL Communications telah berjaya mengaktifkan perkhidmatan perayauan data (data roaming) mereka di negara tersebut.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), inisiatif itu bertujuan untuk memastikan rakyat Malaysia yang berada di Timor-Leste dapat menikmati perayauan data yang lancar pada kadar berpatutan, sama seperti negara-negara ASEAN yang lain.
“Perkhidmatan perayauan 4G di Timor-Leste merupakan satu pencapaian yang besar berbanding rangkaian infrastruktur 2G dan 3G sebelum ini,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.
MCMC berkata, perkembangan itu berjaya direalisasikan melalui kerjasama rapat pihaknya dengan Autoridade Nacional de Comunicações (ANC) Timor-Leste.
Selain itu, katanya, ia juga hasil sokongan perkongsian perayauan strategik antara MNO dengan penyedia telekomunikasi utama Timor-Leste iaitu Telkomsel, Telemor dan Timor Telecom.
Pencapaian itu juga, kata MCMC, sejajar dengan keutamaan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang tertumpu kepada aspek keterangkuman, kelestarian dan keterhubungan digital:
Selain itu ia jua mencerminkan komitmen bersama ASEAN dalam memupuk komuniti berfokuskan rakyat di mana teknologi meningkatkan mobiliti, peluang dan perpaduan di seluruh rantau.
“Malaysia mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN yang merupakan detik bersejarah dalam mengukuhkan perpaduan ASEAN dan visi bersama ke arah rantau lebih inklusif dan terhubung secara digital,” kata MCMC.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia kekal komited menyokong sepenuhnya inisiatif untuk mengukuhkan integrasi serantau dan mempromosikan keterhubungan merentas sempadan, selaras dengan tema membentuk masa depan digital bersama kepada semua rakyat ASEAN. — Edisi 9

