Thursday, June 4, 2026

Pengambilan VAT mampu perkukuh kecekapan operasi AKPS

Keberadaan mereka yang berpengalaman dalam bidang ketenteraan dan keselamatan awam akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan AKPS dalam menghadapi ancaman semasa...

Mesti Baca

AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyambut baik keputusan kerajaan yang memperuntukkan 220 perjawatan baharu dalam agensi itu dengan keutamaan kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT).

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, langkah itu bukan sahaja mengiktiraf jasa dan disiplin tinggi anggota keselamatan negara tetapi juga selaras dengan aspirasi Kerangka Strategik Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi, kebajikan rakyat dan keselamatan negara.

Beliau berkata, penyertaan VAT merupakan langkah strategik yang akan memperkukuh kecekapan operasi dan rantaian arahan (chain of command) di semua pintu masuk negara. 

“Keberadaan mereka yang berpengalaman dalam bidang ketenteraan dan keselamatan awam akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan AKPS dalam menghadapi ancaman semasa serta mengukuhkan integriti kawalan sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas ucapan Belanjawan Madani 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini yang memperuntukkan sebanyak RM45 juta bagi pengoperasian AKPS.

Pada masa yang sama, Mohd Shuhaily berkata, inisiatif tersebut memperlihatkan usaha kerajaan memperkasa ekonomi dan kesejahteraan sosial veteran tentera, dengan memberikan ruang untuk mereka terus berbakti kepada negara melalui perkhidmatan awam yang berdisiplin dan berwibawa.

Katanya, langkah itu juga akan membantu AKPS memperkukuh kolaborasi strategik bersama enam agensi teras di bawahnya dalam mempertingkatkan keberkesanan kawalan di semua pintu masuk darat, laut dan udara selaras dengan matlamat untuk membina sempadan negara yang selamat, berteknologi tinggi dan berintegriti.

Beliau berkata, peruntukan itu turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan AKPS untuk memastikan sempadan negara sentiasa selamat, terkawal dan bebas daripada ancaman penyeludupan serta jenayah rentas sempadan. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan