Thursday, June 4, 2026

Diskaun tol 50 peratus sempena cuti perayaan Deepavali

Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM19.86 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol.

Mesti Baca

KERAJAAN hari ini bersetuju untuk memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus daripada kadar tol biasa bermula 18 hingga 19 Oktober bersempena dengan cuti perayaan Deepavali.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, pemberian diskaun itu membabitkan kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang).

Beliau berkata, ini bagi membolehkan kesemua rakyat Malaysia berbilang kaum terutama masyarakat India untuk menyambut dan meraikan Deepavali dalam suasana gembira, harmoni dan saling hormat-menghormati.

“Pemberian diskaun tol 50 peratus ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya yang bermula pada jam 12.01 tengah malam, 18 Oktober 2025 (Sabtu) dan berakhir pada Jam 11.59 malam, 19 Oktober 2025 (Ahad) di semua plaza tol.

“Kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM19.86 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol berikutan pemberian diskaun tersebut.

Katanya, pemberian diskaun tol itu selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan harapan ia akan mengukuhkan perpaduan antara kaum ke arah pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Sementara itu, Alexander menasihati agar pengguna jalan raya memanfaatkan peluang tersebut dan merancang perjalanan mereka bagi mengurangkan kesesakan.

“Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan
semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya memohon supaya semua pengguna memandu dengan berhemah mematuhi semua peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

“Berehatlah jika keletihan dan mengantuk dan bersama-samalah kita semua
bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita selamat, bersih dan selesa serta dapat mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan