KERAJAAN melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Januari 2023 telah bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada pengguna lebuh raya negara ini bersempena dengan sambutan perayaan Deepavali yang akan disambut pada 12 November ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata, melalui mesyuarat bersama-sama dengan syarikat konsesi mereka bersetuju dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini yang akan bermula pada 11 November, esok jam 12.01 pagi sehingga 12 November, Ahad jam 11.59 malam.
“Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.
“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya.
Beliau berkata, Pemilihan tarikh ini juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas serta keperluan logistik lain yang membabitkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya.
“Anggaran jumlah trafik dalam masa dua hari terbabit adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan. Dengan pelaksanaan tol percuma ini, diharapkan pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini selain merancang perjalanan dengan sebaiknya.
“Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.
“Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Deepavali ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta,” katanya.
Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuhraya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik secara berkala.
Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan. -Edisi 9