25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Tol percuma sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina

Mesti Baca

KERAJAAN melalui Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberikan tol percuma kepada kenderaan Kelas 1 sebagai meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Cina yang menyambut perayaan Tahun Baharu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula 12.01 tengah malam, 8 Februari 2024 (Khamis) dan akan berakhir pada 11.59 malam, 9 Februari 2024 (Jumaat).

Beliau berkata, pemberian tol percuma sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina itu memberi implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.

“Pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta Linggi berkata, pengecualian tol akan diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Tol percuma oleh Kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

Advertisements

“Dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya dan dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan,” katanya.

Beliau berkata, aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan kali kni akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta.

Beliau juga menasihat pengguna untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch ‘n Go serta eWallet adalah mencukupi.

Katanya, pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemas kini menerusi media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan