KERAJAAN menetapkan tiga harga berbeza bagi petrol RON95 susulan pelaksanaan subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) secara menyeluruh mulai esok.
Tiga harga berbeza itu dispesifikasikan kepada harga tanpa subsidi, harga dengan BUDI95 serta harga runcit bagi ektor pengangkutan darat awam dan pengangkutan darat barangan di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter, harga runcit di bawah SKPS pula pada RM2.05 sementara harga petrol di bawah BUDI95 ialah RM1.99.
MOF dalam kenyataan hari ini berkata, penetapan harga tersebut bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON95 dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, bagi harga runcit petrol RON97 pula, kekal pada paras RM3.21 seliter sementara harga runcit diesel di Semenanjung kekal pada paras RM2.93 manakala bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.
Katanya, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – Edisi 9

