PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu pemain warisan yang dikaitkan dengan skuad kebangsaan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menegaskan, pihaknya dan para pemain terbabit sentiasa bertindak dengan penuh ketelusan serta berlandaskan semangat kesukanan.
“Para pemain dan FAM sendiri telah bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses ini. Segala dokumentasi serta prosedur berkaitan telah diuruskan secara telus mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Malah, FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak beraksi mewakili Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan awal hari ini.
Semalam, FAM dan tujuh pemain warisan negara berdepan tindakan tegas selepas Jawatankuasa Disiplin FIFA mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FIFA dalam satu kenyataan mendakwa, FAM telah mengemukakan dokumen yang telah diubah suai ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada badan induk dunia itu.
Mengulas lanjut, Yusoff menegaskan FAM tidak akan berdiam diri dan akan menggunakan semua saluran perundangan bagi memastikan kepentingan pemain serta pasukan kebangsaan terpelihara.
“FAM akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan menggunakan semua prosedur perundangan yang ada bagi mempertahankan integriti bola sepak negara,” ujarnya.
Tambah beliau, FAM akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia serta pihak berkepentingan lain untuk memastikan proses yang dijalankan adalah telus, adil dan mematuhi peraturan antarabangsa.
Menurut Yusoff, sebarang perkembangan lanjut mengenai proses rayuan dan langkah susulan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. — Edisi 9

