PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara berdepan tindakan tegas selepas Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam satu kenyataan hari ini mendedahkan, FAM telah mengemukakan dokumen yang telah diubah suai ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada badan induk dunia itu.
Ini sekali gus membolehkan kesemua pemain terbabit diturunkan ketika skuad Harimau Malaya berdepan Vietnam dalam aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Berikutan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.85 juta) kepada FIFA, manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 (RM10,500) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.
FIFA turut memaklumkan bahawa isu mengenai kesahihan kelayakan pemain-pemain tersebut untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia telah dirujuk kepada Tribunal Bolasepak FIFA untuk pertimbangan lanjut.
“FAM serta pemain terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut dan mempunyai tempoh 10 hari untuk mengemukakan permintaan keputusan bertulis penuh (motivated decision).
“Keputusan ini juga tertakluk kepada rayuan di hadapan Jawatankuasa Rayuan FIFA,” kata kenyataan FIFA menerusi laman rasminya hari ini.
Tindakan tersebut dijangka memberi tamparan hebat kepada skuad kebangsaan yang kini dalam misi kelayakan ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Semalam, penggerak revolusi skuad Harimau Malaya, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan wujud cubaan daripada entiti luar untuk menggagalkan usaha memperkukuhkan skuad kebangsaan.
Ia susulan tindakan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim itu yang berkongsi satu tangkap layar laporan portal sukan yang mendakwa wujud cubaan sabotaj tersebut. — Edisi 9

